Isu Panas

Kula vs Ngeh: Apakah yang sebenarnya terjadi?

Krisis kepimpinan DAP Perak semakin meruncing apabila Timbalan Pengerusi, M. Kulasegaran mencabar ketuanya, Datuk Ngeh Koo Ham berdebat secara terbuka mengenai dasar-dasar yang dibuat bersama sepupunya, Nga Kor Ming (Setiausaha DAP negeri) selama 11 bulan pakatan pembangkang berkuasa di negeri itu.

Kulasegaran yang menulis di dalam blog beliau http://ipohbaratvoice.blogspot.com semalam mencabar Pengerusi DAP Perak itu menjawab setiap isu yang dibangkitkan.

“Sebenarnya, saya telah mencabar beliau sejak semalam (kelmarin), tetapi beliau tidak memberikan sebarang maklum balas. Namakan sahaja tempat dan masa, saya akan dedahkan kesemuanya,” katanya menerusi blog berkenaan.

Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan mengajak pemimpin parti itu bersikap ‘bersih’ dan adil kepada semua ahli sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap Barisan Nasional (BN).

Selain itu, beliau turut menafikan Khoo Ham telah memujuknya untuk membatalkan niat melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Perak.

“Ini tidak benar kerana apabila saya menyuarakan hasrat untuk melepaskan jawatan tersebut, beliau (Koo Ham) ternyata gembira mengenainya.

“Malah, beliau (Koo Ham) juga berkata saya masih Naib Pengerusi DAP Kebangsaan. Jadi ia tidak akan menjejaskan apa-apa dengan pelepasan jawatan tersebut,” katanya.

Dalam blog tersebut, Kulasegaran turut menyatakan terdapat banyak kebenaran yang tidak boleh disembunyikan dan beliau akan membongkar kebenaran tersebut apabila tiba masa dan keadaan yang sesuai.

Sementara itu, Koo Ham dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam berkata, isu tersebut akan diselesaikan secara dalaman.

Menurut Ahli Parlimen Beruas merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu, kepimpinan DAP Perak juga akan mengadakan pertemuan dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum membuat sebarang tindakan.

Menurutnya, para pemimpin parti tersebut akan cuba menyelesaikan isu itu sebaik sahaja Kulasegaran kembali dari Nepal minggu depan.

“Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengadakan perbincangan dengan saya mengenai isu ini. Kami telah bersetuju supaya ia ditangani secara dalaman.

“Kami juga akan mendapatkan nasihat daripada Kit Siang dan menunggu Kulasegaran balik sebelum membuat keputusan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");