Kolumnis

LIDAH BIAWAK APA PULA KALI INI PKR NAK BERIKAN?

Seramai 215 orang anggota Ranting Lepar Utara dan Cabang Paya Besar mengisytiharkan diri keluar dari PKR atas alasan stereotaip iaitu hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti. Mereka menyertai UMNO dan wakil kumpulan tersebut, Abdul Rahim Darus menyerahkan borang-borang permohonan keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Paya Besar.

Ketua Cabang Paya Besar telah dimenangi oleh Zahari Mamat dalam pemilihan peringkat Cabang baru-baru ini. Sebelum menyerai PKR, Zahari Mamat merupakan AJK UMNO Bahagian Paya Besar. Dikatakan kemasukan Zahari Mamat ke dalam PKR telah memberi tamparan besar kepada Ketua Bahagian UMNO, Tajuddin Sulaiman yang sedang berkrisis dengan Menteri Besar Pahang pada ketika itu. Kecewa kerana namanya tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Lepar yang diwakilinya, Tajuddin Sulaiman meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri.

Setakat ini, satu-satunya portal berita yang pro PKR, Pahang Daily Online memberi alasan bahawa pembubaran Cabang Paya Besar dan Ranting Lepar Utara adalah disebabkan kerja kuat Tajuddin Sulaiman yang dikatakan kembali mempunyai hubungan yang baik dengan Menteri Besar Pahang, Adnan Mohd Yaacob.

Kebiasaannya, antara alasan yang paling kerap diberikan ialah, semua itu hanyalah lakonan semata-mata. Malah antara ALASAN TERBAIK dan TERKINI adalah, yang mengisytiharkan diri keluar dari PKR itu sebenarnya adalah ahli-ahli bermasalah yang sudah pun disingkirkan oleh PKR sebelum ini.

Saifuddin Nasution pastinya akan menjadi orang yang cukup sibuk untuk memberikan pelbagai alasan yang memperlihatkan bahawa PKR masih utuh. Faktor orang luar, anasir yang cemburu melihat kekuatan PKR dan agen-agen musuh yang ingin menjatuhkan imej baik PKR di mata rakyat Malaysia, pasti akan digunakan semula untuk menerangkan tentang kemelut yang sedang berlaku dalam beberapa Cabang dan Ranting PKR di seluruh negara.

Kepimpinan PKR masih lagi gagal atau berusaha sedaya mungkin untuk menolak faktor keengganan Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan kes liwatnya sebagai alasan utama parti yang ditubuhkan atas dasar simpati kepada Anwar itu, semakin kehilangan sokongan akar umbi. Meskipun menggembar-gemburkan kemasukan atau ahli-ahli dari parti-parti komponen BN termasuk dari UMNO melompat ke dalam PKR, hakikatnya PKR yang kehilangan sokongan terbesar akar umbi. Manakala golongan yang melompat ke dalam PKR pula adalah ‘REJECTED ITEM’ yang kecewa kerana gagal merebut kuasa dalam parti asal.

Pada 1997, Anwar Ibrahim mendapat sokongan besar daripada rakyat Malaysia yang bersimpati dengannya. Apatah lagi Anwar Ibrahim merupakan pemimpin politik Malaysia pertama yang dituduh terlibat dalam kegiatan homoseksual dan seks luar tabie. Imej Anwar Ibrahim sebelum itu yang kelihatan seperti seorang pemimpin yang wara’ ditambah pula dengan lidahnya yang fasih memberikan ucapan berapi-api, menenggelamkan sudut-sudut gelap pada dirinya.

Dan kerana itulah, Anwar Ibrahim masih lagi dapat sokongan daripada golongan anti-establishment terutama golongan muda yang berjiwa rebellious. Namun kes liwat kedua dan helahnya untuk melengah-lengahkan perbicaraan di samping memberi alasan kononnya pihak pendakwa yang cuba melengah-lengahkan perbicaraan tersebut, benar-benar memalukan dirinya. Cubaannya untuk membodohkan seluruh rakyat Malaysia, tidak tercapai memandangkan yang seringkali meminta penundaan perbicaraan adalah pihaknya, biarpun alasan yang digunakan sangat remeh dan adakalanya melucukan!!!

Biarpun kepimpinan utama PKR cuba melarikan perhatian dan daya tarikan serta sokongan atas faktor Anwar Ibrahim, hakikatnya tanpa Anwar Ibrahim, PKR pasti berkubur. Apatah lagi parti berkenaan tidak mempunyai hala tuju dan perjuangan yang jelas melainkan untuk membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwatnya semata-mata selain mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri. Malah kalau dibandingkan dengan parti yang dipimpin oleh Nallakaruppan pun, parti India terbaru itu mempunyai hala tuju dan perjuangan yang lebih jelas iaitu memperbaiki taraf kehidupan masyarakat marhein India yang tidak dapat pembelaan daripada mana-mana pihak.

Apa pun alasan yang bakal diberikan oleh Saifuddin Nasution, sudah boleh diagak. Bahkan tiada sesiapa pun yang akan cemas dengan pembubaran mana-mana Ranting atau Cabang PKR. Yang menjadi kehairanan ialah kalau tiba-tiba Ranting dan Cabang PKR di seluruh negara bertambah berkali ganda… kalau setakat dibubarkan, semua orang sudah tidak hairan, bukan sahaja di kalangan ahli UMNO, bahkan di kalangan ahli PKR sendiri pun sudah menjangkakan pembubaran berkenaan.

Penulis: Rosli Mohd Sah

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");