Berita Hari Ini

Pas Terdesak, Bakar Bendera BN, Kain Rentang Dirosakkan

GUA MUSANG, 28 Okt – Mungkin mula berasa terdesak. Kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang selama dua hari ini berlangsung dalam keadaan tenang mula dicemari perbuatan khianat apabila berlaku kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Kampung Lembaga di sini, hari ini.

banner-prk galas-rosakSetelah dua hari kempen bermula ternyata bahang kempen mula terasa dengan aktiviti ceramah dan menaikkan bendera serta poster calon bertanding.

Sehingga semalam ternyata jentera BN mendominasi pemasangan bendera dan poster calon di merata tempat berbanding Pas yang dilihat lebih tertumpu kepada ceramah-ceramah umum.

Malangnya suasana tenang selama dua hari mula dicemari perbuatan khianat pihak tertentu apabila terdapat beberapa bendera BN dan UMNO yang digantung di Kampung Lembaga, dibakar pada awal pagi oleh individu dipercayai daripada parti pembangkang.

Selain itu, terdapat kain rentang BN di Kampung Baru di sini yang disimbah bahan peluntur untuk melunturkan gambar pada kain rentang itu yang memaparkan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa pemimpin BN lain.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap kejadian membakar bendera UMNO dan BN itu ditangani dengan baik.

“Dalam pilihan raya kadang-kadang ada satu dua insiden yang tak dapat dielakkan. Saya harap selesaikan masalah yang timbul ini dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Gua Musang di sini, hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin melahirkan kekecewaan terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Tegas beliau pihaknya kesal dengan sikap jentera kempen Pas yang datang dari luar dengan mengambil tindakan terdesak dan agresif terhadap BN sedangkan jentera BN bersikap profesional dan beretika semasa berkempen.

“Saya melihat jentera tempatan dan penyokong tempatan tak ada masalah. Mereka tak ada yang ketara sangat antara UMNO dan Pas di Gua Musang ini.

“Di sesetengah tempat mungkin ada ketegangan… pulau memulau, tapi di sini tak ada masalah, kita salam bersalaman, sembang malah boleh minum sekali”, katanya.

Justeru beliau percaya perbuatan khianat tersebut bukan dilakukan jentera Pas tempatan tetapi jentera Pas dari luar.

“ Mungkin mereka sendiri tak tahu sensitiviti dan tatasusila politik tempatan. Mereka terbawa-bawa dengan cara agresif di tempat lain,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");