Perak Hari Ini

RM9 juta untuk laksana rancangan pencegahan banjir di Perak

Kerajaan Perak akan melaksanakan rancangan pencegahan banjir bernilai RM9 juta di negeri ini tidak lama lagi dengan tumpuan diberikan kepada kawasan Hulu Perak dan Kerian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata peruntukan tersebut yang diperolehi daripada Pejabat Perdana Menteri itu merupakan perbelanjaan bagi membiayai pelan jangka pendek untuk mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Katanya Hulu Perak dan Kerian telah dikenal pasti antara kawasan yang memerlukan tindakan segera berikutan kejadian banjir buruk yang sering melanda di kawasan tersebut.

“Peruntukan RM9 juta itu melibatkan kerja-kerja mendalam sungai selain membina dan membaiki pembentung bagi mengalirkan air yang bertakung di kawasan rendah di ke sungai. Kita juga memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli pam air baru bagi menggantikan yang lama terutama bagi menangani masalah banjir di Bagan Datoh termasuk membina ban kawasan itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata masalah banjir di Perak tidak akan berakhir sehinggalah ada satu rancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh.

“Maka, kerajaan negeri sedang membuat perancangan ke arah tersebut. Namun, halangan kita mungkin dari segi peruntukan kerana kita telah menganggarkan sejumlah RM300 juta diperlukan bagi melaksanakan rancangan jangka ini,” katanya.

Katanya rancangan jangka panjang banjir itu melibatkan pembinaan aliran alternatif kepada Sungai Kerian bagi laluan air untuk sampai ke laut.

“Keadaan topografi Kerian yang merupakan kawasan lembah menyebabkan pergerakan air Sungai Kerian begitu perlahan untuk sampai ke laut. Faktor ini merupakan punca air sungai Kerian begitu cepat melimpah apabila tiba musim hujan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");