Perak Hari Ini

Perak minta Kerajaan Pusat bantu baiki sistem pengangkutan awam

Kerajaan Persekutuan diminta turut menyenaraikan Perak sebagai antara negeri yang memerlukan penambahbaikan bagi sistem pengangkutan awam.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan Perak sudah menyuarakan hasrat itu baru-baru ini kerana merasakan negeri ini perlu mempunyai rangkaian sistem pengangkutan awam yang baik bagi kemudahan rakyat.

“Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sekarang hanya memberi tumpuan menambah baik sistem pengangkutan awam di beberapa bandar raya utama saja iaitu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Saya sudah kemukakan perkara ini kepada Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan sistem pengangkutan awam lebih cekap di negeri lain khususnya dalam konteks di Perak di mana kita memerlukan bantuan dalam menyediakan prasarana asas untuk meningkatkan kualiti sistem pengangkutan awam,” katanya.

Zambry juga berkata, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa daerah di Perak yang tiada perkhidmatan bas awam untuk penduduk setempat seperti di Kerian dan Manjung kerana dikatakan tidak menguntungkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah menghantar permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan bagi pembinaan Terminal Bersepadu Ipoh Sentral menghubungkan Stesen Bas Medan Kidd untuk perkhidmatan antara bandar di Ipoh dengan Stesen Keretapi di Ipoh.

Katanya, menerusi pembinaan terminal bersepadu itu, mereka yang menggunakan perkhidmatan keretapi dapat terus menggunakan perkhidmatan bas tanpa perlu berjalan kaki dalam jarak jauh atau menggunakan kenderaan lain untuk ke Stesen Bas Medan Kidd.

Katanya, keperluan terminal itu semakin penting selepas pelancaran perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) yang memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Ipoh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");