Isu Panas

MCA Boleh Dipercayai Ke?

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke 57 semalam, Datuk Seri Najib menyeru agar MCA diberi ruang untuk bersuara jika tidak ingin melihat BN kehilangan sokongan dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Najib juga mengingatkan MCA agar tidak hanya pandai membuat tuntutan tetapi harus juga memberi balasan sokongan kepada kerajaan. Beliau juga menegaskan bahawa kaum Cina Malaysia bukanlah pendatang kerana mereka juga adalah warganegara yang setia.

Sudah sampai masanya kenyataan tegas dibuat mengenai sikap MCA dan masyarakat Cina di Malaysia yang suka membuat berbagai-bagai tuntutan untuk kepentingan mereka semata-mata. Sudah sampai masanya juga agar kaum Cina menjadi warganegara yang setia dan tidak lagi berkelakuan seperti pendatang.

Kita sedih apabila Perdana Menteri terpaksa membuat kenyataan sedemikian walaupun telah bertahun-tahun merdeka. Kita sedih kerana setelah bertahun-tahun hidup dalam keharmonian, kita tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa kesetiaan kaum Cina terhadap negara ini masih lagi diragui.

Salah siapakah ini?

Bagi penulis, ia adalah salah semua pihak. Amatlah sukar untuk menjadi satu bangsa bila kita terlalu berbeza dalam segala segi. 1 + 1 + 1 tidak mungkin jawapannya 1. Tidak mungkin sama sekali! Tiga tidak mungkin sama dengan satu.

Perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati selama ini adalah berdasarkan kontrak sosial yang dipersetujui dan ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin kaum terdahulu. Artikel 152 & 153 adalah kunci yang membuatkan perpaduan dan keharmonian itu dapat diwujudkan.

Malaysia ditubuhkan atas dasar toleransi, persefahaman dan hormat-menghormati. Walaupun pemimpin terdahulu dan hari ini juga melihat sekolah vernakular sebagai tidak sihat bagi bangsa ini, tetapi ia tetap dibenarkan beroperasi atas semangat toleransi, persefahaman dan hormat-menghormati.

Namun, amatlah menyedihkan bila sekolah-sekolah vernakular ini tidak berusaha untuk menyemai semangat yang sama di dalam diri murid-murid mereka.

Kontrak sosial dan perlembagaan tidak ditekankan di dalam sekolah-sekolah ini. Lalu, murid-murid sekolah ini semakin lama semakin jahil mengenai fakta sejarah yang melahirkan Malaysia sebagai negara berbilang kaum yang harmoni.

Bahasa Kebangsaan juga tidak diberi perhatian di dalam sekolah-sekolah ini. Malah, keutamaan diberikan kepada bahasa ibunda murid-murid. Sekolah-sekolah vernakular ini juga cenderung untuk tidak mengangkat sejarah awal negara bermula dari Tanah Melayu.

Akibatnya, murid-murid sekolah ini mempunyai masalah untuk menerima sejarah silam negara sebagai sebahagian dari sejarah mereka sebagai rakyat Malaysia.

Dengan meragui dan teragak-agak untuk menerima sejarah negara ini terutamanya yang melibatkan pahlawan dan pemimpin berbangsa Melayu sebagai sejarah sendiri dan dengan membuat berbagai tuntutan yang mementingkan diri sendiri serta tidak jemu-jemu mempersoalkan kontrak sosial dan perlembagaan, maka secara automatik kesetiaan kaum Cina dan India terhadap negara ini juga diragui.

Amatlah sukar untuk menerima seorang yang tidak tahu berbahasa kebangsaan dengan baik dan tidak tahu sejarah negara ini sebagai seorang warganegara yang sama taraf. Adalah lebih sukar bila mereka juga menunjukkan sikap bermusuh dengan perlembagaan negara dan secara terang-terangan menyokong rasis seperti Namewee.

Inilah yang membuatkan mereka, terutamanya kaum Cina dirujuk sebagai pendatang oleh orang Melayu/Bumiputera walaupun selepas berpuluh tahun nenek moyang mereka bertapak di Tanah Melayu atau Malaysia.

Dalam ucapannya juga, Najib memberitahu pada pemimpin MCA bahawa kaum Cina, terutamanya orang muda, mungkin tidak percaya bahawa MCA memperjuangkan kepentingan mereka jika pemimpin gagal untuk mendekati dan meyakinkan mereka.

Kita harap yang pemimpin MCA tidak melihat apa yang diperkatakan oleh Najib dari sudut bangsa semata-mata. Memperjuangkan kepentingan kaum muda Cina tidak bermakna berjuang untuk menghapuskan hak Melayu, meminda perlembagaan atau mengubah terus corak Malaysia.

Berjuang untuk kaum Cina tidak bermakna mendesak kaum muda mereka untuk menjadi lebih Cina, memperlekehkan Bahasa Kebangsaan dan tidak mengiktiraf Raja-raja Melayu.

Jika MCA mahu agar kaum muda mereka TIDAK dirujuk sebagai pendatang, maka mereka harus diajar tentang Malaysia sedari mula iaitu bermula dari Tanah Melayu, bagaimana nenek moyang mereka tiba di sini dan bagaimana mereka akhirnya diterima menjadi warganegara.

Kaum muda Cina juga harus belajar menerima dan menghormati Raja-raja Melayu sebagai raja mereka dan tahu serba sedikit protokol bila berhadapan dengan kerabat diRaja. Mereka harus terlebih dahulu memiliki semangat Malaysia sebelum menuntut agar mereka dilayan seperti rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia sebenar harus tahu bagaimana untuk memberi, berterima kasih dan menghormati satu sama lain. Mereka tidak harus pentingkan diri, berat sebelah dan juga rasis.

Ia harus diamalkan oleh kedua-dua pihak. Jika satu pihak rasis dan satu lagi tidak, pasti kita akan berhadapan dengan situasi di mana terdapat Penindas dan yang Ditindas.

Jika satu pihak terus-terusan hanya membuat tuntutan dan satu pihak lagi terus-terusan hanya memberi, tanpa menerima apa-apa balasan pasti kita akan berhadapan dengan situasi di mana terdapat Pembuli dan Mangsa.

Justeru, bolehkah MCA buktikan pada negara ini yang kaum Cina bukan Penindas dan Pembuli?

Angela Sinyang Malaysia Instinct

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");