Berita Hari Ini

PM: Bukti MSC berjaya

CYBERJAYA 12 Okt. – Pembukaan Pusat Global Hewlett-Packard (HP) di sini membuktikan kejayaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia sebagai pusat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang sebenar-benarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, paling penting, ia membuktikan Malaysia menawarkan destinasi yang kukuh dan berdaya maju untuk pelaburan ICT.

Malah, kata beliau lagi, fasa kedua MSC Malaysia akan berakhir pada tahun ini dan beliau gembira untuk melaporkan keputusannya yang memuaskan.

“Dalam tempoh 14 tahun, inisiatif MSC telah mewujudkan lebih 2,500 syarikat berstatus MSC dengan gabungan sumbangan lebih RM35 bilion dalam Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sejumlah lebih 100,000 jawatan peringkat tinggi telah diwujudkan telah menarik pelaburan lebih RM27 bilion yang mana 60 peratus daripadanya adalah dari pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian Pusat Global HP di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Maximus Ongkili, Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan HP, Cathie Lesjak.

Pusat Global HP di Malaysia mula dibina pada 2008 dan siap pada Ogos lalu.

Pusat itu dibina bagi menyokong dan memberi kemudahan kepada para pelanggannya di seluruh dunia bagi tujuan penyumberan luar teknologi infrastruktur, proses perniagaan dan pelbagai lagi.

Najib menambah, hari ini juga merupakan satu mercu tanda penting HP dan Malaysia yang telah memberi manfaat kedua-dua pihak dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Usahawan HP, Kevin Jones berkata, HP telah mengecilkan bilangan pusat data kepada enam di seluruh dunia termasuk di Malaysia, berbanding 85 buah sebelumnya.

Katanya, pengecilan bilangan pusat data itu merupakan sebahagian daripada program transformasi teknologi maklumat (IT) syarikat berjumlah AS$1 bilion (RM3.1 bilion).

Pembukaan sebuah pusat datanya di sini yang merupakan sebahagian daripada program transformasi berkenaan.

Tambah Jones, lima lagi pusat data akan dibina di bawah program transformasi IT adalah di India, China, Filipina, Costa Rica dan Bulgaria.

Beliau berkata, di Malaysia, pusat yang dibina adalah seluas 25.3 hektar dan memiliki pelbagai kemudahan termasuk pusat gimnasium, kafeteria, ruang pejabat yang luas dan pusat jagaan kanak-kanak.

Jones berkata, di sebalik pengecilan bilangan pusat data, bilangan tenaganya di Malaysia dan di seluruh dunia, ditingkatkan 52 peratus.

“Di Malaysia, selain penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris yang baik, bakat, kemahiran dan pengetahuan luas yang dimiliki rakyat di negara ini turut membantu pengembangan operasi HP di rantau Asia Tenggara,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Global HP di sini hari ini.

Jones berkata, pusat data itu mempunyai lebih 50 peratus pekerja tempatan manakala bakinya pekerja mahir asing.

“Setakat ini, kami tidak merancang menempatkan bakat HP yang dibuang di AS pada zaman kegawatan lalu ke negara ini kerana di sini turut mempunyai bakat yang hebat,” kata beliau.

Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");