Kolumnis

Suburnya budaya Taqlid buta dalam PAS

Bermula dari tahun 1951 sehinggalah sekarang, antara taktik dan teknik PAS untuk menguasai dan meluaskan pengaruhnya adalah dengan menggunakan isu-isu agama. Pada masa yang sama, PAS turut menggunakan kaedah pendewaan terhadap para pemimpin mereka, terutama yang dianggap berjenama seperti Burhanuddin Helmi, Dr.Zulkifli Ahmad, Amaluddin Darus dan kini Nik Abdul Aziz. Pendewaan adalah perlu bagi memastikan kewujudan perasaan taksub dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap PAS.

Dalam apa juga majlis ilmu, terlalu jarang ada penceramah dari kalangan pemimpin PAS yang mengingatkan tentang bahayanya budaya taqlid dan taksub. Sebaliknya mereka yang banyak menyuburkan budaya tersebut sebagai jaminan penguasaan PAS di kalangan orang awam.

Agak malang kerana meskipun generasi muda lebih terdidik dengan pelajaran agama, bahkan terdedah dengan pelbagai maklumat, mereka tidak mengendahkan langsung tentang bahaya taqlid buta. Bahkan sebahagian besar daripada mereka membuta tuli mempercayai golongan yang mereka gelarkan sebagai ulama. Jikalau anda rajin masuk ke Facebook, Twitter dan blog, anda akan dapat melihat sendiri bagaimana suburnya budaya taqlid buta di kalangan generasi muda yang menyokong PAS.

Dalam hal ini sebenarnya Allah Taala telah pun memperingatkan umat manusia agar tidak bertaqlid buta seperti dalam salah satu firman-Nya yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban.” (maksud ayat 36 Surah Al-Israa’)

Antara contoh paling jelas tentang taqlid buta ialah sokongan terhadap Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak yang merupakan boneka Ngah-Ngeh bersepupu. Jumlah umat Islam yang bertaqlid buta dan beranggapan bahawa jawatan Menteri Besar sebagai satu jawatan dalam agama, dan sistem demokrasi rom sebagai salah satu daripada sistem Islam, benar-benar mengecewakan. Lebih malang lagi apabila ada dari kalangan mereka yang datang dari sekolah-sekolah pondok di seluruh Perak.

Dek kerana bertaqlid buta, kebanyakan daripada mereka gagal memahami sistem pentadbiran dan pemerintahan dalam Islam. Malah lebih daripada itu, mereka gagal melihat bahawa pemerintah sebenar yang berkuasa di Perak adalah KDYMM Seri Paduka Sultan Perak. Perlantikan Menteri Besar dan barisan Exco negeri adalah terletak di bawah budi bicara baginda. Kelompok pentaqlid buta ini juga gagal melihat peristiwa sebelum itu iaitu bagaimana baginda menggunakan kuasanya untuk menolak kehendak Ngeh Kor Ham agar Menteri Besar Perak dilantik dari kalangan orang Cina memandangkan di dalam Pakatan Rakyat, DAP adalah pemegang konsensi terbesar meskipun secara keseluruhan, UMNO sebenarnya yang lebih layak.

Gerakan untuk membuatkan rakyat, terutama orang Melayu bertaqlid kepada para pemimpin PAS berterusan dan berlaku di mana-mana. Mereka tidak sekadar menyerang kampung-kampung Melayu tradisional dengan masjid, surau dan madrasah sebagai sasaran, sebaliknya turut menyerang institusi pengajian sekular, terutama dari kalangan pelajar-pelajar yang dianggap aset PAS pada masa hadapan.

UMNO sebenarnya sudah terlalu lama leka dan tidak menghiraukan apa yang dilakukan oleh PAS dalam menyesatkan ummat. Menyuburkan budaya taqlid merupakan acara penyesatan yang sangat merbahaya dan seharusnya dikekang dari awal lagi. Malangnya UMNO selaku penguasa, langsung tidak menghiraukan ancaman yang sebenarnya jauh lebih merbahaya berbanding ancaman subversif pengganas KOMUNIS.

Hari ini, sebarang kecaman terhadap kesalahan laku yang dibuat oleh para pemimpin PAS akan dibela habis-habisan oleh para penyokong mereka yang mengamalkan taqlid buta. Biarpun Nik Abdul Aziz dalam banyak keadaan, melakukan kesalahan dan jenayah agama, namun sebarang kecaman terhadapnya, seolah-olah melantun semula.

“Yang aku takuti terhadap umatku adalah pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

“Yang aku takuti terhadap umatku ada tiga perbuatan, iaitu kesalahan seorang ulama, hukum yang zalim dan hawa nafsu yang diperturutkan.” (Hadis riwayat Assyihaab)

“Celaka atas umatku daripada ulama yang buruk.” (Hadis riwayat al Hakim)

“Orang yang paling pedih seksannya pad ahari kiamat ialah seorang alim yang Allah menjadikan ilmunya tidak bermanfaat.” (Hadis riwayat al Baihaqi)

“Apabila kamu melihat seorang ulama bergaul erat dengan penguasa, maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang PENCURI.” (Hadis riwayat Ad-Dailami)

Itu adalah sebahagian daripada maksud hadis-hadis peringatan daripada Rasulullah s.a.w kepada umatnya tentang taqlid buta terhadap golongan yang bergelar ulama. Maka seharusnya setiap individu yang bergelar Muslim perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu agama selayaknya bagi mengelakkan daripada berlaku taqlid buta terhadap mana-mana orang yang mengaku mereka adalah ulama.

Dan kalaulah itu yang berlaku, PAS akan hilang punca. Selama ini, mereka sangat bergantung kepada kejahilan, kebodohan dan ketololan umat Islam untuk parti mereka terus hidup. Seandainya umat Islam tahu dan sedar tentang bahaya taqlid kepada akidah dan iman, kemudian berusaha mendalami ajaran Islam serentak dengan peningkatan kualiti amalan masing-masing, PAS tidak akan wujud lagi di muka bumi ini!

Penulis: Rosli Mohd Sah untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");