Kolumnis

UMNO tidak perlu bersikap apologetik dalam perjuang hak Melayu dan Bumiputera

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan UMNO tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum beroleh manfaat.

Beliau berkata UMNO yang kini mempunyai kira-kira 3.4 juta anggota, juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, malah anggota parti seharusnya bangga menjadi Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana UMNO berlaku adil kepada semua.

Serentak dengan itu beliau mahu perasaan curiga antara kaum dibendung segera dan debat perkauman dihentikan serta-merta bagi mengelak segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang dibina selama ini, musnah.

Beliau juga mengingatkan jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Muhyiddin berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri yang bertemakan “Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Selasa malam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO juga tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“UMNO tidak akan ragu-ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi (negara) yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“Namun, saya tegaskan bahawa dimensi baru tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu,” katanya.

Beliau berkata peluang-peluang ekonomi juga akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha, sebaliknya tiada tempat bagi pengamal “rent-seeking” yang haloba dan ingin mengaut laba yang sementara.

Muhyiddin menarik perhatian bahawa hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis.

Katanya politik berasaskan kaum bukan satu bentuk politik perkauman atau politik rasis, malahan UMNO sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan pada masa yang sama sentiasa menghormati hak serta kepentingan kaum-kaum lain dalam negara.

“Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain,katanya.

Muhyiddin berkata kejayaan Malaysia selama ini membuktikan andaian pelbagai pihak meleset apabila sejurus selepas negara merdeka, mereka meramalkan negara akan hancur akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi.

“Berkat kepimpinan UMNO yang dinamik dan toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah,” katanya.

Beliau berkata antara punca kejayaan negara ialah kesejahteraan ekonomi yang berperanan penting untuk menjamin keamanan.

“Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO apabila mereka mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang berupa dasar pembangunan ekonomi yang menggabungkan penciptaan kekayaan dan pembahagian yang adil,” katanya.

Muhyiddin berkata walaupun Umno sebuah parti yang besar dan bertunjang kepada kebangsaan Melayu-Islam, sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu.

Katanya ini berbeza dengan sikap parti pembangkang yang tidak mempunyai landasan perjuangan dan sentiasa berubah ibarat “mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan” sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing.

“Mereka caca marba seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita.

“Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,” katanya.

Berbeza dengan UMNO, beliau berkata parti itu tetap istiqamah (konsisten) dengan sumpah perjuangan dan tidak pernah tergelincir daripada landasannya.

Beliau yakin bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangannya yang asal dan difahami oleh keluarga besar atau parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak mahu menjadi parti yang lemah semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain. Bagi UMNO, mempertahankan perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah prinsip awlawiyat (keutamaan) yang paling besar. Pokoknya UMNO tidak pernah dan tidak akan menjadi hamba kepada kuasa,” katanya.

Beliau juga sedar bahawa perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia dan perpaduan itu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional.

“Perpaduan Melayu itu sendiri merupakan teras perpaduan nasional. Untuk itu, UMNO akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dan umat Islam. Umno akan berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan syiar Islam dan memastikan kestabilan politik terus terjamin,” katanya.

Muhyiddin berkata walaupun UMNO sebuah parti yang besar dan bertunjang kepada kebangsaan Melayu-Islam, sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu.

Katanya ini berbeza dengan sikap parti pembangkang yang tidak mempunyai landasan perjuangan dan sentiasa berubah ibarat “mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan” sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing.

“Mereka caca marba seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita.

“Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,” katanya.

Beliau juga sedar bahawa perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia dan perpaduan itu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional.

“Perpaduan Melayu itu sendiri merupakan teras perpaduan nasional. Untuk itu, UMNO akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dan umat Islam. UMNO akan berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan syiar Islam dan memastikan kestabilan politik terus terjamin,” katanya.

Sementara itu Muhyiddin mencadangkan satu sistem Kad Skor diperkenalkan untuk menilai prestasi setiap lapisan kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Beliau berkata kad itu akan menilai keterlibatan dan prestasi anggota sayap parti dalam bidang-bidang utama iaitu ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga, pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum.

“Dengan adanya Kad Skor ini, setiap pemimpin akan dapat dinilai prestasi masing- masing untuk tempoh dua tahun akan datang dan ia juga mungkin boleh dinilai siapa yang layak untuk menjadi calon pilihan raya. Mereka yang menunjukkan prestasi tinggi akan diberikan pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya.

“Anggaplah inisiatif ini sebagai satu daripada usaha ikhlas kita untuk meningkatkan imej parti dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, yakin sekiranya sistem itu dilaksanakan sepenuhnya, ia akan mencetuskan satu lonjakan baru dalam tahap keaktifan dan keberkesanan gerak kerja anggota parti.

“Saya yakin apabila ini berlaku, bukan sahaja sayap-sayap yang akan mengalami lonjakan, malah keseluruhan parti akan menerima kesan positif. Dan saya yakin saudara saudari mampu melaksanakannya,” katanya.

Beliau juga menyeru agar para anggota Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri merapatkan saf dan memperkukuhkan sayap parti.

“Jangan ada walau sekelumit perasaan amarah sesama kita, jangan ada walau sedikit perasaan iri yang membinasakan, jangan ada walau setitik perasaan dendam yang memusnahkan,” katanya.

Muhyiddin berkata sayap-sayap parti mesti memainkan peranan lebih aktif dalam mendokong perjuangan parti terutamanya dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata isu-isu dan segala tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap Umno perlu segera ditangkis, malah sayap-sayap parti mesti sentiasa berperanan secara lebih agresif untuk memperkukuhkan Umno dan membentuk pandangan positif rakyat terhadap parti itu.

Perhimpunan lima hari yang bermula hari ini dihadiri 4,907 perwakilan yang terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung Umno, 793 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 Pemuda dan 776 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.-19/10/2010

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");