Perak Hari Ini

Industri halal: Fokus kerjasama lima wilayah selatan Thailand

IPOH  – Kerajaan negeri akan memfokuskan kepada kerjasama strategik bersama lima wilayah selatan Thailand dalam mempromosikan produk industri halal di bawah jenama Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada program Lima Dasar yang dicetuskan Timbalan Menteri Perdagangan Thailand.

Menurut Hamidah, Lima Dasar yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang ekonomi dan sosial antara lima wilayah di Thailand iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun melibatkan lima negeri di utara Semenanjung iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

“Lima sektor utama yang dikenal pasti untuk kerjasama utara Malaysia-Thailand itu meliputi perdagangan dan pelaburan, pelancongan, logistik, industri halal dan pendidikan.

“Kerajaan negeri melihat wilayah-wilayah di selatan Thailand mempunyai potensi besar dalam mengeluarkan produk makanan bermutu tetapi mereka mempunyai kelemahan dari segi pensijilan halal.

“Kita akan memainkan peranan dari segi pembungkusan dan pelabelan makanan serta pensijilan logo halal. Oleh itu, kita akan memanfaatkan sepenuhnya bandar Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Ekspo Usahawan Industri Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang julung kalinya diadakan di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Mara negeri, Mohamad Fuad Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim serta Ahli Majlis Mara, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah merangkap Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perak.

Ekspo selama tiga hari yang berlangsung di sini antara lain bertujuan mempromosikan produk keluaran industri Mara selain mewujudkan satu rangkaian pemasaran dan pengedaran di kalangan usahawan bumiputera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");