Perak Hari Ini

Jenayah indeks kawasan perindustrian Perak turun 23.8%

Jenayah indeks di kawasan perindustrian di negeri ini sejak Januari hingga Oktober lalu mencatatkan penurunan ketara iaitu 41 kes atau 23.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 131 kes jenayah berlaku di kawasan perindustrian berbanding 172 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kebanyakan kes itu berlaku di bandar raya ini, membabitkan kejadian pecah masuk ke dalam kilang serta kecurian harta benda.

“Walaupun terdapat penurunan dalam kes jenayah indeks di Perak, namun, polis mempergiatkan usaha yang lebih berkesan supaya statistik jenayah dapat dikurangkan secara maksimum,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah melancarkan Program Community Policing di kilang Henkel (M) Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Tasek di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim; Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias dan Pengurus Besar Henkel (M) Sdn. Bhd., Jason Lee Yue Hung.

Zakaria turut memuji tindakan kilang-kilang di sekitar Kawasan Perindustrian Tasek bekerjasama dengan berkongsi kamera litar tertutup (CCTV) untuk membuat pemantauan keselamatan.

“Tindakan berkongsi kemudahan yang sama ini adalah sangat baik kerana ia lebih berkesan untuk mencegah kejadian jenayah.

“Kita juga menggalakkan rukun tetangga (RT) di kawasan-kawasan perumahan membuat rondaan cegah jenayah kerana ia lebih baik daripada upah syarikat menjalankan tugas tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Perak masih kekal sebagai negeri tertinggi mempunyai ahli Rakan Cop berdaftar iaitu seramai 97,916 orang.

Katanya, bilangan tersebut mewakili sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan ahli Rakan Cop di Malaysia yang meliputi seramai 390,155 orang.

“Menjelang hujung tahun ini, kita harap bilangan ahli yang berdaftar dengan Rakan Cop di Perak akan mencecah angka 100,000 dan mengekalkan kedudukan sebagai negeri mempunyai keahlian teramai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");