Berita Hari Ini

Permohonan Isytihar Pemilihan Timbalan Presiden PKR Tidak Sah Didengar Isnin

Oleh SALWA SHA’ARI

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), P. Jenapala untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden parti tersebut sebagai tidak sah akan didengar pada Isnin ini.

Perdengaran permohonan itu dijadualkan akan dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini, Datuk Aziah Ali.

Perkara itu dinyatakan pada Jumaat, selepas Jenapala memfailkan afidavit sokongan bagi menyokong saman pemula yang difailnya pada Khamis.

Afidavit tersebut difailkan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Berdasarkan afidavit itu, Jenapala menyatakan bahawa mahkamah patut membenarkaninjunksi interlokutori untuk memastikan tiga defendan iaitu Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution, tidak meneruskan pemilihan dan perisytiharan.

Beliau juga mendakwa ketiga-tiga pemimpin utama PKR tersebut sebagai tidak prihatin kerana gagal memberi maklum balas terhadap suratnya bertarikh 27 September lalu.

Beliau seterusnya mendakwa telah menghantar beberapa surat berhubung pengesahannya sebagai ahli parti bagi membolehkan beliau layak bertanding jawatan tersebut.

Jenapala juga menyatakan, beliau berhak bertanding kerana masih anggota parti memandangkan keahliannya adalah seumur hidup.

Berdasarkan saman pemula yang difailkan Jenapala, beliau mendakwa kenyataan media oleh Saifuddin pada 20 September lalu bahawa beliau telah dibuang daripada parti adalah tidak berasas kerana keahliannya telah disahkan di ibu pejabat parti itu pada 17 September lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");