Kolumnis

Kenapa tanah Melayu mudah tergadai?

LAPORAN media mengenai nasib penduduk Melayu Pulau Pinang mula berkocak semula. Ia gara-gara tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mula ‘menceroboh’ tanah didiami dan dimiliki penduduk Melayu.Walau apa pun status tanah tersebut, sama ada tanah persendirian, tanah syarikat, tanah ceti, tanah tol atau tanah pemaju, nampaknya segala pembangunan yang dijalankan seolah-olah mahu mengusir penduduk Melayu dari menetap di bahagian pulau.

Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Tengah di Jelutong, Kampung Genting di Balik Pulau, Kampung Permatang Tepi Laut di Batu Maung dan Kampung Teluk Kumbar menyaksikan betapa ramainya penduduk Melayu telah dan bakal diusir keluar dari tanah yang didiami mereka sejak lama dahulu.

Apa sebenarnya berlaku? Benarkah mereka dihalau keluar dari tanah mereka? Wartawan Utusan Malaysia, ROHANA MAN dan NURUL HUDA HASSAN serta jurugambar, ZHAFARAN NASIB mengupas isu yang hangat diperkatakan sekarang.

KEMELUT dan nasib penduduk Melayu di Pulau Pinang yang terpinggir telah lama kedengaran. Tetapi ia kini semakin lantang kedengaran disebabkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mula mengambil satu demi satu tanah untuk tujuan pembangunan.

Ya…kita tidak boleh menolak pembangunan. Tetapi soalnya, pembangunan yang bagaimana perlu dilakukan agar keadilan sosial dapat dinikmati semua kaum di negeri itu.

Apa yang jelas adalah pembangunan ‘berat sebelah’ iaitu sekadar membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dimiliki majoriti penduduk Melayu.

Menitip pantun lama yang berbunyi:

Pulau Pinang bandar baru,

Kapten Light menjadi raja;

Bila terkenang zaman dahulu,

Jatuh berlinang air mata.

Hakikatnya, nasib orang Melayu di Pulau Pinang mula dibangkitkan selepas pilihan raya 1969. Sejak kira-kira 40 tahun lalu iaitu sewaktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional yang diterajui UMNO, Gerakan, MCA dan MIC memerintah, memang banyak hal ehwal berkaitan nasib Melayu Pulau Pinang diperkatakan termasuk dalam isu tanah.

Namun kita perlu faham bahawa masalah berkaitan tanah Melayu di Pulau Pinang memang rumit untuk diselesaikan kerana ia melibatkan banyak perkara terutama berkaitan status. Ini kerana sebanyak 60 perkampungan Melayu di Pulau Pinang merupakan tanah ceti atau tanah tumpang. Kesemua kampung itu kini mempunyai kira-kira 7,000 penduduk. Begitulah status tanah di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Tengah, Kampung Permatang Tepi Laut dan Kampung Teluk Kumbar. Kesemua tanah itu kini telah dan akan menjadi milik pemaju.

Ia jadi begitu selepas tanah yang diwarisi daripada nenek moyang telah digadai kepada ceti. Ceti pula menjual tanah itu kepada pemaju.

Memang menyedihkan kerana rupa-rupanya selama ini, orang Melayu menumpang teduh di atas tanah yang asalnya milik mereka, tetapi terpaksa keluar dari kampung selepas mendapat perintah mahkamah.

Dalam kes Kampung Jalan Pokok Asam, ia akan dimajukan dengan projek kediaman bertingkat berharga RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

Ya…kita akui tanah telah tergadai dan penduduk tidak boleh berbuat apa-apa untuk kekal di kampung masing-masing. Namun, jika benar-benar kerajaan negeri yang dikuasai DAP prihatin terhadap nasib rakyat, tentu kerajaan negeri campur tangan dalam isu yang melibatkan nasib dan masa depan penduduk Melayu Pulau Pinang.

Setakat hari ini, apa yang kita nampak penduduk kampung terpaksa berjuang sendirian untuk mendapatkan keadilan terutama dalam soal pampasan. Malah, lebih teruk ada penduduk tidak mendapat apa-apa pampasan. Di mana tanggungjawab sosial yang sepatutnya dipikul kerajaan negeri?

Di sebalik itu, banyak pihak tertanya-tanya kenapa begitu mudah tanah Melayu Pulau Pinang tergadai? Adakah salah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sehingga tahun 2008? Marilah kita berfikir jauh ke hadapan.

Banyak pihak menuduh UMNO yang menjaga kepentingan penduduk Melayu Pulau Pinang menjadi punca kenapa banyak tanah Melayu tergadai. Ia satu tuduhan tidak berasas kerana UMNO tidak memiliki tanah-tanah tersebut. Ia adalah hak milik penduduk yang mewarisinya daripada nenek moyang mereka.

Ketika mahu menjual tanah-tanah tersebut, mereka tidak merujuk perihal itu kepada pemimpin UMNO. Justeru, kenapa UMNO dipersalahkan? Penduduk menjual tanah atas kehendak sendiri selepas ‘kelabu mata’ melihat habuan lumayan yang bakal diterima.

Namun banyak juga faktor lain yang perlu dilihat iaitu kebanyakan anak-anak muda tidak mahu lagi tinggal di kampung. Mereka meninggalkan ibu dan bapa sendirian di kampung. Oleh kerana ‘tiada sesiapa’ lagi di kampung, maka ibu bapa ikut berhijrah ke tempat lain untuk menetap bersama anak-anak.

Akhirnya, tanah kampung dijual dan ini juga merupakan salah satu punca kenapa semakin banyak tanah milik Melayu tergadai di Pulau Pinang.

Soalnya, kenapa tanah Melayu mudah sangat tergadai? Ia bertitik tolak daripada pendidikan dan pemikiran generasi nenek moyang yang ketika itu kurang bijak membuat keputusan yang betul dalam soal tanah.

Ilmu yang cetek mengenai selok belok tanah yang dipajak, tanah yang digadai dan tanah yang berpindah milik kurang difahami.

Faktor ekonomi yang rendah menjadi antara punca kenapa penduduk sanggup menggadai tanah. Mungkin mereka berharap generasi berikutnya dapat menebus semula tanah yang digadai. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku apabila tanah tidak ditebus sekali gus memaksa ceti menjualnya kepada pemaju.

Dalam majlis forum bertajuk Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaiannya? baru-baru ini, seorang ahli panel memberitahu harga tanah di Georgetown sekarang adalah RM400 sekaki persegi. Melihat angka yang besar itu, siapa yang tidak kelabu mata?

Menurutnya, harga itu adalah harga semasa pada Mac dan April 2010. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa mereka yang berpendapatan rendah, majoritinya Melayu tidak akan mampu membeli rumah di bahagian pulau.

Trend pemaju di pulau itu sekarang adalah membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dibayar oleh orang Melayu. Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, purata pendapatan per kapita mengikut kumpulan etnik bagi tahun 2004 menunjukkan kaum bumiputera memperoleh RM2,856 berbanding kaum Cina RM4,268 dan kaum India RM2,687.

Meneliti itu, nampaknya orang Cina juga ramai yang tidak mampu memilikinya, apatah lagi kaum bumiputera. Yang mampu adalah orang luar dari Korea dan Singapura yang semakin banyak membeli pangsapuri mewah di pulau tersebut.

Memetik kertas kerja bertajuk Ekonomi-Permasalahan Melayu Pulau Pinang oleh Amir Hussin Baharuddin dalam buku bertajuk Melayu Pulau Pinang terbitan USM: “Dulu kita tidak pernah bimbang penghijrahan orang Melayu Pulau Pinang ke tempat lain kerana penghijrahan mereka dilakukan secara sukarela untuk membaiki taraf hidup. Tetapi pada hari ini kita amat bimbang kerana Melayu Pulau Pinang dipaksa berpindah secara tidak sedar, dari rumah yang selesa ke flat yang seperti sangkar burung merpati atau dari dusun yang disayangi ke rumah pangsa tanpa tanah untuk bercucuk tanam. Mereka menjadi mangsa pembangunan. Melayu Pulau Pinang semakin terpinggir, mereka sudah tidak boleh bertahan lagi, mereka kabur dan terhimpit.”

Justeru, kita seluruh anak Melayu di negara bertuah ini seharusnya berkongsi sama masalah yang melanda saudara sebangsa dan seagama mereka di Pulau Pinang yang nampaknya semakin terhimpit dengan mencari titik penyelesaian, bukannya menuding jari mencari kesalahan pihak lain semata-mata mahu menutup kelemahan sendiri. Sumber: Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");