Kolumnis

PAS hanyalah Pencacai!

Ramai pendokong dan penyokong PAS menyinga apabila dikatakan PAS di dalam Pakatan Rakyat berstatus PARIAH dan PENCACAI yang tidak bermaruah. Malah beberapa orang pemimpin PAS menyifatkan kehadiran PAS di dalam Pakatan Rakyat sebenarnya adalah hikmah yang membolehkan golongan bukan Islam di dalam parti yang pernah mencetuskan konflik kaum pada 1969 di Kuala Lumpur itu, lebih memahami Islam.

Nik Abdul Aziz sendiri bercakap besar kononnya, persahabatan dan persekutuan PAS dengan DAP serta PKR tidak melunturkan prinsip PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini. Bagaimanapun, cakap-cakap Nik Abdul Aziz itu hanya boleh dilakukan di hadapan kelompok pendengar Melayu.Nik Abdul Aziz tidak mungkin akan berani untuk bercakap tentang Negara Islam, Undang-Undang Islam atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam kecuali MEMPERGUNAKAN ISLAM di hadapan kelompok bukan Islam, terutama sekali pada penyokong DAP.

Dalam perkembangan terbaru, PAS terbabit sepenuhnya dalam pertarungan satu lawan satu di DUN Galas. PAS telah memenangi kerusi DUN Galas pada tahun 2008 menerusi Chek Hashim Sulaima biarpun dengan majoriti kecil dan berharap pertarungan selepas kematian Chek Hashim Sulaima masih berpihak kepada PAS. Bagi memastikan kemenangan, PAS terpaksa menggunakan faktor pendewaan ke atas Nik Abdul Aziz di samping cerita-cerita syahdu tentang kebaikan dan kemuliaan Chek Hashim Sulaima yang sebenarnya hanya wujud dalam cerita, bukannya secara realiti.

Namun sesuatu yang sangat menghampakan apabila PAS di Galas bersendirian. PKR yang sudah beberapa kali diberikan khidmat oleh PAS bermula dari pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh sehinggalah ke Hulu Selangor, tidak menghiraukan masalah PAS yang sedang berhadapan dengan kemaraan UMNO Apatah lagi PKR perlu menumpukan perhatian kepada Parlimen Batu Sapi memandangkan calon mereka adalah salah seorang daripada tiga orang calon yang bertanding di kerusi berkenaan.

Sepanjang sejarah pilihanraya kecil selepas Mac 2008, PAS telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memenangkan PKR dan Anwar Ibrahim. Di Permatang Pauh misalnya, PAS telah menghantar jenteranya ke sana. Hebatnya bantuan PAS kepada Pakatan Rakyat seolah-olah calon di Permatang Pauh adalah dari PAS, bukannya Anwar Ibrahim.

Tanpa kekuatan jentera pilihanraya PAS, keputusan pilihanraya di beberapa tempat termasuklah di Bukit Selambau, tidak akan berpihak kepada PKR. Namun apabila pilihanraya kecil membabitkan calon PAS seperti di Bagan Pinang, PKR yang telah dibantu oleh PAS, ternyata sekadar berlagak sebagai mandur besar. Sekalipun menurunkan Anwar Ibrahim sebagai juru kempen, namun tenaga kerja bawahan PKR tidak disertakan sekali.

Bagi yang celik mata hati, akan dapat melihat bagaimana PAS sebenarnya bersendirian di Bagan Pinang dan itulah sebabnya mereka kalah. Kemenangan Nizar Jamaluddin di Bukit Gantang juga lebih banyak disebabkan tindakan popularnya memberikan status 999 tahun kepada perkampungan Cina. Manakala kemenangan bermajoriti kecil di Manek Urai pula, mengesahkan kegagalan bantuan daripada PKR dan DAP selain penyusutan pengaruh Nik Abdul Aziz yang diberikan imej dewa oleh pihak seranta PAS.

Selepas bertungkus lumus di Sibu bagi memenangkan calon DAP, PAS di Galas tidak dihiraukan oleh DAP. DAP hanya menghantar delegasi kempen mereka untuk memasuki perkampungan masyarakat Orang Asli yang dilihat sebagai sasaran manipulasi mudah bagi mendapatkan tanah menerusi status Bumiputera dan kaum Pribumi masyarakat tersebut.

Sekalipun jentera-jentera kempen PAS seperti Warkah Daily cuba mempertahankan kolobarasi antara PAS dengan DAP dan PKR, namun hakikatnya keretakan ketara sudah boleh dilihat. Sesuatu yang sangat pasti ialah, selepas berusaha mempertahankan dan menyanggah hujah bahawa PAS dipinggirkan oleh DAP dan PKR dalam perancangan terbaru kedua-dua parti tersebut, para pemimpin dan jentera kempen PAS akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa PAS adalah elemen penting Pakatan Rakyat. Sedangkan PKR dan DAP pula tidak akan berbuat apa-apa untuk menyanggah dakwaan bahawa PKR dan DAP berusaha menyingkirkan PAS sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai Parlimen pada Pilihanraya Umum ke-13.

Sampai bilakah sebenarnya baru PAS akan mengaku bahawa status mereka di dalam Pakatan Rakyat hanyalah PENCACAI dan BARUA atau MUNCIKARI semata-mata? Bilakah sebenarnya pemimpin PAS akan berusaha mengalihkan peranan mereka di dalam Pakatan Rakyat dari pencacai kepada pemimpin Pakatan Rakyat? Sampai bila PAS akan terus membenarkan DAP dan PKR mempergunakan jentera pilihanraya mereka sepenuhnya?

Oleh: Kelembai Bukit untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");