Perak Hari Ini

Pas jangan biadab

Kenyataan yang dikeluarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan UMNO perlu berundur secara terhormat jika kalah pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, disifatkan biadab dan dianggap sebagai manusia yang telah mengetahui akan kekalahan sebelum berlakunya pertandingan.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, rakyat harus bijak menilai kenyataan berkenaan kerana Hadi serta Pas sudah tidak sabar dan terdesak untuk mengambil alih pemerintahan sedangkan rakyat memberi mandat sepenuhnya kepada UMNO dan BN memerintah melalui keputusan pilihan raya lalu.

Menurutnya, walaupun UMNO dan BN tidak mendapat keputusan “terbaik” untuk mengekalkan kemenangan mutlak melalui majoriti 2/3 tetapi UMNO dan BN telah berusaha melakukan transformasi untuk memberikan satu perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Katanya, walaupun UMNO dan BN kehilangan 5 negeri dalam pilihan raya yang lalu, tetapi kita akur keputusan itu terutama salah satu kubu kuat BN iaitu negeri Perak sendiri.

“Tetapi akhirnya Perak berjaya dirampas semula dengan ADUN-ADUN mereka sendiri yang keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai Wakil Rakyat Bebas yang menyokong BN.

“Di sini saya ingin jelaskan bahawa semasa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin diisytiharkan menjadi Menteri Besar, UMNO–BN menerima keputusan dengan hati terbuka dan semua ADUN-ADUN BN hadir untuk upacara angkat sumpah di istana tanpa melakukan demonstrasi.

“Selain itu juga saya ingin jelaskan bahawa ADUN-ADUN BN sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, demi keamanan serta keselesaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau turut mempersoalkan tuduhan PR berkaitan rampasan kuasa sedangkan majoriti yang telah diperolehi PR telah beralih kepada BN yang dibuat dari keputusan undang-undang tubuh Negeri Perak yang diperkenankan sultan.

Menurutnya, keadaan itu berlaku disebabkan ketidakpuasan hati tiga ADUN PR yang keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai Wakil Rakyat Bebas yang menyokong BN.

“Tidak wajar ada pertikaian kerana mahkamah pun telah mengisytiharkan kemenangan ini secara sah. Pas dan PR kena memahaminya sistem demokrasi ini. Bukan melakukan putar-belit yang boleh mengelirukan rakyat jika sesuatu keputusan tidak menyebelahi mereka.

“Jika Dato Seri Hadi meminta UMNO dan BN belajar untuk akur sepatutnya mereka terlebih dahulu mengukur baju di badan sendiri serta tidak menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

“Saya nasihatkan Pas atau PR muhasabah diri kerana segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Bukan hanya pandai mencari kesilapan orang lain dan menabur fitnah demi mencapai cita-cita.

“Jika beliau yakin kekuatan yang ada pada Pas dan PR kita tunggu pilihan raya nanti. Rakyat akan menentukannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");