Berita Hari Ini

Pengarang Kanan Malay Mail Dibicara Januari

Oleh SALWA SHA’ARI

PETALING JAYA: Pengarang Eksekutif Hiburan & Gaya Hidup Malay Mail, Irwan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Hasan Skodeng akan dibicarakan atas pertuduhan membuat komen palsu di blog miliknya pada 26 Januari depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hayatul Akmal Abdul Aziz pada Rabu, selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunus yang mewakili Irwan, 36, tidak membantah tarikh tersebut.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Badius Zaman Ahmad dan Zainulnahar Zakaria.

Pada 2 September lalu, Irwan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat komen palsu bertajuk ‘TNB to sue WWF over earth hour’ dengan niat mahu menyakiti hati orang lain.

Irwan yang merupakan seorang blogger bebas didakwa menerbitkan komen tersebut di blognya http://nose4news.wordpress.com antara pukul 6 dan 7 petang, 25 Mac lalu, di pejabat Malay Mail di nombor B-3A-01,02 & 03, Dataran 3 Dua, Jalan 19/1, di sini.

Bagi kesalahan itu, Irwan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Irwan kini dibebaskan dengan jaminan RM4,000 yang dijelaskan oleh Pengarang Kumpulan Red Berry Media Group, Datuk Ahirudin Atan atau dikenali sebagai Rocky’s Bru dalam dunia blog.

Aduan dibuat oleh Pemangku Pengurus Besar Komunikasi Korporat TNB, Ismail Abd Rahman dan Irwan telah menyerah diri kepada pihak polis sebaik sahaja mengetahui pihak tersebut sedang mencari ‘Hasan Skodeng’.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");