Perak Hari Ini

Penternak, PBT perlu bincang atasi ternakan berkeliaran

Masalah kemalangan maut membabitkan ternakan di sini boleh diatasi jika penternak lembu dan kerbau mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah mencadangkan PBT supaya menyelesaikan masalah itu di meja rundingan.

“Kita memberi cadangan kepada PBT yang terlibat agar menyelesaikan masalah itu di meja rundingan demi keselamatan bersama walaupun mengakui perkara itu agak sukar dilaksanakan namun ia tidak mustahil.

“Penternak juga seharusnya bertanggungjawab terhadap haiwan ternakan mereka supaya tidak memberi kesulitan kepada pengguna jalan raya terutama pada waktu malam yang kerap berlaku kemalangan di laluan Ipoh-Batu Gajah-Lumut membabitkan lembu dan kerbau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog bersama pegawai polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Gajah di sini hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang jika terjadi sesuatu kemalangan, namun jika siasatan mendapati terdapat kecuaian daripada penternak, tindakan akan diambil.

Selain itu, katanya, penyediaan padang ragut untuk haiwan ternakan didapati sesuai kerana semua pihak perlu bekerjasama dalam soal keselamatan berikutan kerap berlakunya beberapa kejadian kemalangan maut di laluan Ipoh-Batu Gajah-Lumut baru-baru ini.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya penyeludupan lembu dan kerbau sempena Hari Raya Aidiladha pada 17 November ini, Zulkifli berkata, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) sentiasa memantau sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan berhampiran sempadan di Gerik dan beberapa kawasan lain.

Beliau berkata, pemantauan itu perlu untuk menahan sesiapa sahaja yang cuba menyeludup haiwan tersebut.

“Kita khuatir haiwan yang diseludup itu mempunyai penyakit yang boleh membahayakan kesihatan orang awam yang membelinya,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata, tugas untuk membanteras jenayah secara menyeluruh harus dilakukan secara bersama termasuk di kalangan anggota dan pegawai polis sendiri kerana tugas itu akan menjadi lebih mudah jika semua pihak berganding bahu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");