Perak Hari Ini

Perak Sedia Laksana Teknologi Hijau Dalam Projek Janakuasa Elektrik

Perak bersedia melaksanakan dasar teknologi hijau termasuk dalam projek usahasama hidroelektrik kecil bernilai RM100 juta di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya projek hidroelektrik mini oleh tiga syarikat swasta itu akan menggunapakai teknologi hijau serta mempunyai kapasiti menjana tenaga elektrik 10 MegaWatt.

Tiga syarikat berkenaan ialah Perak Hydro Renewable Energy Corporation (PHREC), China Science and Technology International Supply Corporation dan syarikat tempatan, Bumi International Energy Sdn Bhd.

Zambry berkata kawasan bagi projek hidroelektrik itu telah dikenalpasti dan ia mampu menampung keperluan tenaga elektrik untuk pekan kecil dan industri di negeri itu.

“Tenaga elektrik yang dijana akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seperti pengeluar penjana bebas (IPP) yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman antara tiga syarikat tersebut pada hari Jumaat.

Pada majlis itu, PHREC diwakili oleh pengerusinya Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, syarikat China Science and Technology International Supply Corporation oleh pengerusi lembaganya, Liang Ding dan Bumi International Energy Sdn Bhd diwakili oleh pengarah eksekutifnya Mohd Dzahir Jamudin.

Zambry berkata projek usahasama itu membuktikan keyakinan pelabur asing dan tempatan membuat pelaburan di negeri itu.

Sementara itu, Wan Mohammad Khairil Anuar berkata projek berkenaan akan dijalankan secepat mungkin dan TNB juga bersedia untuk bersama-sama menjadi pemaju dalam sektor hidroelektrik kecil di negeri itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");