Perak Hari Ini

Spesifikasi berbeza

GERIK – Pembekuan kelulusan untuk stesen minyak mini sepertimana diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan memberi kesan kepada Projek Komuniti Drumming yang dilaksanakan di kawasan pendalaman di sini.

Ahli Parlimen Gerik merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, ia berikutan kerana kedua-duanya adalah spesifikasi berbeza.

Menurutnya, pembekuan kelulusan stesen minyak mini itu tidak akan menjejaskan Projek Komuniti Drumming yang dijalankan di kawasan pendalaman dan perkampungan Orang Asli.

“Ini kerana untuk projek itu kita mengisi minyak dalam drum dan akan diagihkan kepada penduduk di kawasan pendalaman,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian,: semalam.

Lian Hoe berkata, beliau bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan terdapat pertambahan keperluan yang memungkinkan perlunya diwujudkan stesen mini di kawasan pendalaman terutama kawasan Orang Asli seperti Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kemar, dekat sini.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kemungkinan itu sesuatu mungkin dapat diusahakan bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan pendalaman.

“Sekiranya projek ini tidak dapat menampung keperluan penduduk di kawasan pendalaman dan meningkat sehingga melebihi 50 liter, kita akan mengemukakan rayuan untuk kelulusan stesen minyak mini.

“Saya rasa ia tidak akan menjadi masalah kerana stesen minyak mini itu amat diperlukan bagi menampung keperluan penduduk terutama di RPS Kemar yang begitu jauh di kawasan pendalaman,” katanya.

Menurutnya, semua keputusan adalah bergantung kepada kelulusan daripada kabinet.

“Apa yang perlu difahami adalah pembekuan kelulusan untuk stesen minyak ini adalah keputusan kabinet dengan tujuan untuk penjenamaan semula.

“Sepertimana disebutkan Datuk Seri Ismail Sabri, ia bertujuan untuk melihat terlebih dahulu kejayaan proses penjenamaan semula stesen minyak mini kawasan luar bandar sebelum mempertimbangkan semula permohonan baru,” katanya.

Katanya, selepas menjalani proses penjenamaan semula, berkemungkinan stesen mini yang dibuka selepas ini akan menggunakan jenama yang selaras di seluruh negara.

“Bermakna selepas ini kita mungkin akan menggunakan satu nama yang sama untuk semua stesen minyak mini di seluruh negara ini.

“Sepertimana disebutkan Datuk Seri Ismail Sabri juga, pengusaha stesen minyak mini sedia ada perlu terlebih dahulu membuktikan kejayaan mereka termasuk dari aspek keselamatan produk petroleum, pembangunan terancang yang memenuhi spesifikasi piawaian keselamatan, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");