Perak Hari Ini

RM50,000 salur wang ihsan buat mangsa banjir di Perak

Setiap Pejabat Daerah di negeri ini menerima peruntukan sebanyak RM50,000 sebagai wang ihsan sebagai persediaan membantu mangsa jika berlaku banjir, kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim.

Katanya, semua Pegawai Daerah diarah menyegerakan pemberian wang ihsan kepada mangsa banjir dan jumlah bantuan yang diberi itu bergantung kepada kerugian harta benda yang dialami mangsa.

“Bantuan awal wang ihsan RM500 akan diberi kepada setiap mangsa banjir tetapi jika berlaku kerosakan rumah atau lebih serius, ia mungkin ditambah mengikut perkiraan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Abdul Rahman berkata, Perak menyediakan 318 pusat pemindahan yang mampu memuatkan 116,445 mangsa sebagai persediaan jika berlaku banjir di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri sudah membuat persiapan rapi dengan membuka pusat pemindahan itu di sembilan daerah selain menyediakan bantuan pakaian, makanan dan ubat-ubatan.

“Antara kawasan tumpuan banjir ialah Daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Perak Tengah dan Kuala Kangsar,” katanya.

Semua pihak termasuk penduduk ujarnya, diminta membuat persiapan awal bagi memastikan tiada yang terperangkap atau lambat menerima bantuan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri katanya, melalui agensi bertanggungjawab akan merangkap pelan tindakan proaktif dan cekap bagi menangani masalah banjir di Perak.

“Ia termasuk mengeluarkan air takungan lebih awal kerana sebelum ini kita membiarkan paras air berada di tahap tertinggi dan apabila tidak boleh menampung lagi, baru kita terpaksa lepaskan air hingga menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah.

“Tetapi untuk tahun ini, muatan air dalam kolam takungan akan dilepas awal sebelum hujan turun bagi mengelak banjir besar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");