Berita Hari Ini

Negara Ditadbir Ahli Politik Cekap

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia ditadbir oleh ahli politik yang cekap dan bukan sebaliknya.

Beliau berkata, para pemimpin di Malaysia dari parti memerintah berkeupayaan dan mampu membentuk kerjasama yang baik (dengan para pelabur).

“Hari ini hasil daripada perkongsian itu, kita telah dapat bekerjasama dengan sektor swasta bagi mewujudkan loji pengeluaran panel solar di dunia,” katanya selepas merasmikan AUO Sunpower Corporation Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Beliau berkata, loji AUO Sunpower di Rembia di sini membabitkan pelaburan sebanyak AS$1.2 bilion yang akan memberi peluang pekerjaan kepada 4,000 orang sebaik ia beroperasi sepenuhnya.

Najib berkata, pembinaan loji seumpama itu adalah penting kerana negara memerlukan sumber tenaga alternatif yang mapan.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Ketua Pegawai Eksekutif AUO Sunpower Corporation Sdn. Bhd., Tom Werner.

Najib berkata, penjanaan tenaga elektrik yang kini bergantung kepada gas asli sebanyak 54 peratus dan arang batu 40 peratus, kuasa hidro lima peratus, sulingan serta minyak tiga peratus bukannya struktur yang ideal untuk masa depan.

“Kita perlu melakukan perkara ini (menggunakan teknologi hijau) sebab kita ingin menentukan apa-apa pun yang kita lakukan mengambil kira generasi akan datang. Jika tidak menggunakan teknologi hijau kita akan menghadapi tahap kualiti hidup yang tidak sihat dan tidak seperti diharapkan,” katanya.

Untuk tujuan ini, kerajaan akan terus memberi galakan kepada teknologi hijau seperti empat langkah yang diumumkan pada Bajet 2011 lepas.

Sebagai tambahan kepada langkah-langkah itu, beliau berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah melancarkan skim pembiayaan teknologi hijau bagi menggalakkan keusahawanan yang tinggi dalam membangunkan produk hijau melalui peruntukan pinjaman mudah daripada dana RM1.5 bilion.

Ditubuhkan pada 1985, pengeluar yang berpangkalan di Lembah Silikon mengeluarkan sel solar yang sangat efisien, panel-panel solar dan sistem solar yang digunakan dengan meluas di kawasan kediaman, perniagaan, kerajaan dan pengguna utiliti.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan majlis pecah tanah Solar Twin Creeks Malaysia Sdn. Bhd. (TCMSB) di Ipoh yang telah melabur kira-kira RM1 bilion bagi mengeluarkan 100 MW tenaga hijau pada 2012.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");