Berita Hari Ini

Skuad bola kebangsaan banggakan negara, kata Najib

Sebahagian penyokong Malaysia yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan negara.

Kejayaan Malaysia menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini membuktikan mutu permainan skuad bola sepak negara semakin meningkat, dan kejayaan itu amat membanggakan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya amat gembira dengan kemenangan itu. Pasukan negara menunjukkan persembahan baik malam ini, dan seluruh negara amat berbangga dengan pasukan kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan pasukan negara supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan malam ini kerana mereka masih mempunyai satu lagi tugas penting di perlawanan timbal balik akhir di Jakarta, Rabu ini.

“Mereka perlu menampilkan satu lagi persembahan mantap di Indonesia,” katanya.

Gol-gol Malaysia yang dijaringkan oleh Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-59 serta 71, dan Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-67, membolehkan Malaysia membawa bekalan selesa untuk bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada perlawanan akhir kedua Rabu ini.

Seramai 85,000 penonton membanjiri Stadium Nasional di Bukit Jalil malam ini, bukti jelas penyokong tempatan kini kembali memberi sokongan padu kepada kebangkitan skuad kebangsaan.

Sokongan dan minat Perdana Menteri kepada bola sepak negara terutama dalam saingan Piala Suzuki AFF terserlah apabila beliau sanggup duduk bersama penonton di atas jalanraya di kawasan Bukit Bintang, untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam, melalui skrin besar di kawasan itu pada 19 Disember lepas.

Malaysia menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengikat lawan tanpa sebarang jaringan pada perlawanan di Stadium My Dinh di Hanoi untuk melangkah ke perlawanan akhir. — Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");