Kolumnis

Tinjauan Mesra, Blog Cara Najib Dekati Rakyat

Setiap kali Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan tinjauan mesra, ia mengimbau kenangan sewaktu ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menyusuri jalan-jalan kampung untuk menemui penduduk tempatan hampir setengah abad dulu.

“Tinjauan mesra membolehkan saya dekati rakyat,” kata Perdana Menteri yang sentiasa memperlihatkan kesungguhan mendekati rakyat pelbagai kaum selaras dengan slogan pentadbirannya — 1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Beliau bekerja keras sejak menjadi Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009 walaupun terpaksa turun padang dalam keadaan cuaca panas terik semata-mata untuk beramah mesra dengan rakyat.

Tidak kira sama ada petani, nelayan, peniaga pasar malam dan orang kampung, kesemuanya menerima sapaan mesra Perdana Menteri semasa kunjungannya ke seluruh pelosok tanah air.

Tidak kira umur, keturunan, warna kulit dan agama, melalui tinjaun mesra rakyat di kawasan yang dilawatinya, pasti ada “manfaat” bagi rakyat yang dikunjunginya.

“(Melalui tinjauan mesra) bukan saja dapat bertemu mereka (rakyat)…saya sendiri boleh melihat keadaan mereka yang sebenarnya.

“Saya memang merancang tinjauan mesra yang saya adakan dengan harapan apabila saya pergi ke sana, bukan saja bertemu mereka (rakyat) tetapi (saya juga akan dapat) menyelesaikan masalah dan isu setempat mereka,” kata Najib.

Tinjauan mesra rakyat sebenarnya memberikan isyarat kepada semua pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya mereka juga turun padang mendekati rakyat.

Selain melakukan tinjauan mesra, Najib juga terus berhubungan dengan rakyat melalui blognya, laman sosial Facebook dan Twitter.

Konsep 1Malaysia yang diilihamkan oleh Najib kini sudah menjadi gerakan massa di peringkat akar umbi dan bukan lagi gagasan kerajaan semata-mata.

Malah, Perdana Menteri juga bersyukur dan bangga dengan sambutan yang diberikan rakyat terhadap gagasan tersebut seperti yang disaksikan dalam lawatan tinjauan mesra ke beberapa kawasan di seluruh negara.

Hasrat Najib ialah untuk mengajak seluruh rakyat bersama-sama memacu negara ke arah kemajuan lebih pesat.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) pada 10 Jun lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan, menegaskan pentingnya RMK10 untuk menjayakan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri tidak mahu menabur janji dan harapan kosong, sebaliknya mahukan setiap perancangan menunjukkan keberhasilan yang berkesan, agar agenda transformasi yang beliau rancang bakal berjaya.

Justeru, beliau sendiri perlu bekerja keras memastikan harapan gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Kerajaan serta Pelan Transformasi Ekonomi dikongsi bersama oleh pasukan beliau serta rakyat agar semua berjalan lancar seperti dirancang.

Tidak hairanlah selepas bekerja keras membantu rakyat malah melupakan masa rehatnya, Perdana Menteri terpaksa “bercuti” kerana sakit.

Namun, ketika diberi cuti sakit dan dinasihatkan untuk berehat di rumah, Najib tetap masih melakukan tugas sebagai Perdana Menteri.

Tanpa mengenal erti rehat, beliau mengendalikan surat-surat yang mustahak dan penting yang memerlukan perhatiannya.

“Saya merasa rimas kerana duduk berehat sahaja. Saya (sudah biasa) sentiasa sibuk,” kata Najib yang menghidap demam cacar pada penghujung Oktober lepas.

Tahun ini, Najib sudahpun meletakkan asas-asas penting untuk memajukan negara dengan mengumumkan projek awal di bawah RMK10, penyusunan semula skim subsidi serta menetapkan sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi pelbagai bidang keberhasilan utama.

Daripada aspek dasar luar, Najib juga mendekatkan lagi Malaysia dengan banyak negara, terutamanya hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat apabila beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Barack Obama di Washington pada April lepas.

Bila tiba tahun baru 2011, Najib memerlukan semangat baru, tenaga baru dan kekuatan baru kerana perjalanan masih jauh bagi Malaysia untuk mengejar status negara maju.

Oleh: Elmi Rizal Elias

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");