Perak Hari Ini

818 ketua kampung tekad tingkat prestasi

Zambry Abd. Kadir bersalaman dengan sebahagian ketua kampung dari seluruh negeri Perak di Ipoh

Seramai 818 ketua kampung di seluruh negeri ini yang menerima watikah pelantikan mereka semalam bertekad untuk meningkatkan prestasi kerja seperti yang dikehendaki kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut mereka, kenaikan elaun bulanan kepada RM750 oleh Kerajaan Persekutuan dan tambahan RM200 sebulan lagi oleh kerajaan negeri merupakan satu penghormatan dan perlu diterjemahkan dengan bekerja lebih bersungguh-sungguh.

Ketua Kampung Panchor, Pangkalan Baharu, Pantai Remis, Ahmad Wan Chik, 49, berkata, sempena tahun baru ini, dia memperbanyakkan program turun padang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dengan sebaik mungkin.

”Ini kerana, saya tidak mahu ada anggapan pada kerajaan kita hanya tahu cakap dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan pelantikan ketua- ketua kampung di Perak oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini, semalam.

Ketua Kampung Sungai Lidin Baru, Simpang, Taiping, Salleh Saad, 60, pula memasang tekad untuk membantu mendapatkan dua surau baru bagi Kampung Pak Darus dan Taman Indah.

Katanya, pembinaan kedua-dua surau itu memerlukan peruntukan sebanyak RM700,000 iaitu RM350,000 bagi setiap surau.

”Surau di Kampung Pak Darus sudah terlalu uzur dan perlu digantikan dengan surau baru manakala Taman Indah pula belum ada surau tetapi tapaknya sudah ada.

”Selain itu, saya juga berharap sebuah dewan serba guna dapat dibina di Taman Perumahan Awam Batu Dua pada tahun ini,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Sungai Ranggam, Kota Setia, Kampung Gajah, Afendi Johari, 64, perancangannya pada tahun ini ialah untuk menyatupadukan penduduk lapan kampung di bawahnya menerusi program keagamaan.

”Saya akan minta semua imam masjid mengadakan kuliah agama secara kerap bagi mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk.

”Di samping itu, saya mahu jalan-jalan yang sudah rosak serta rumah penduduk kampung yang uzur dibaik pulih atau digantikan dengan rumah baru,” katanya.

Ketua Kampung Sungai Manik Lama Kanan, Teluk Intan, Jelani Japri, 74, pula meletakkan keutamaan membantu penduduk-penduduk miskin tegar di kawasannya.-UtusanMalaysia Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");