Perak Hari Ini

888 calon SAR catat keputusan 8A dalam ujian KAFA tahun lalu

Seramai 888 murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) dari Perak mencatat keputusan cemerlang 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA, tahun lalu berbanding hanya 474 calon pada 2009.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pencapaian yang cukup membanggakan itu adalah hasil sokongan dan komitmen yang diberikan oleh tenaga pengajar di sekolah terbabit.

“Seramai 14,049 calon menduduki ujian kelas KAFA tahun lalu dan 888 daripada mereka meraih 8A dengan mencatat markah lebih 90 peratus.

“Dengan sokongan baik daripada tenaga pengajar dan kerajaan, pencapaian SAR kini setanding dengan pencapaian sekolah lain dan ada pelajar yang menuntut di maahad tahfiz turut mencatat keputusan lebih baik dalam peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana daya ingatan mereka yang kuat,” katanya.

Katanya, bagi membantu memperkasakan SAR, kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 2,000 hektar untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit atau getah.

Ia katanya, bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan institusi pendidikan agama di Perak supaya tidak terlalu bergantung dengan sumber yang diberikan Kementerian Pelajaran dan kerajaan negeri.

“Melalui tabung khas ini, semua peruntukan yang diperoleh dapat digunakan untuk memperbaiki kemudahan sekolah yang rosak atau bagi tujuan pengembangan pendidikan.

“Tabung ini akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam negeri dan turut dianggotai wakil daripada SAR agar segala keuntungan yang diperoleh hasil daripada tanah yang diusahakan itu dapat diagih-agihkan kepada semua sekolah di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan perkapita bernilai RM4.4 juta kepada 685 sekolah agama rakyat yang beroperasi di seluruh Perak di kediaman rasmi Menteri Besar, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry mengingatkan umat Islam supaya bersatu-padu dan memelihara hak dan kehormatan orang lain.

“Janganlah kita berpecah belah sesama umat Islam dan elakkan perbuatan memburuk-burukkan orang lain hingga menjatuhkan maruahnya, sebaliknya kita perlu menjaga perpaduan yang dikecapi hari ini agar tidak berpecah-belah kerana akhirnya nanti ia akan merugikan umat Islam itu sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");