Perak Hari Ini

Projek lampu jalan kampung inisiatif kerajaan Perak tingkat infrastruktur luar bandar

Kerajaan negeri Perak hari ini melancarkan Projek Lampu Jalan Kampung sebagai salah satu inisiatif  bagi meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Bagi tujuan itu, sejumlah RM7.9 juta dibelanjakan bagi membiayai kos pemasangan lampu jalan di 819 buah kampung tradisional yang menggunakan lebihan pendapatan daripada bajet khas demi faedah dan kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata setakat ini, sebanyak 12,438 unit lampu diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam tiga fasa bagi tujuan pemasangan di seluruh negeri Perak yang bermula hujung Disember lalu dan dijangka berakhir selewat-lewatnya 31 Mac depan.

“Projek ini bertitik tolak daripada maklumbalas rakyat ketika program turun padang di mana mereka  sering membangkitkan keperluan lampu jalan di pelusuk kampung terutamanya di waktu malam.

“Oleh itu, kita menggunakan pendekatan projek ini untuk meningkatkan infrastruktur luar bandar bandar dengan memasang lampu jalan di 819 kampung tradisional dengan kos RM7.9 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Lampu Jalan Kampung di Kampung Tebuk Haji Dollah di Selinsing, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 13 ketua kampung menerima Sijil Pemasangan lampu jalan daripada Dr Zambry yang membabitkan 244 unit lampu jalan dan antara kampung yang menerima bantuan itu ialah Kampung Sungai Baru, Kampung Semanggol, Kampung Parit 1 dan Kampung Jalan Gula.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menanggung kos membayar bil lampu jalan kampung dan kerajaan negeri menghargai kerjasama TNB kerana terus melaksanakan projek pemasangan lampu jalan walaupun keputusan rasmi berhubung perkara itu belum dimuktamadkan lagi.

Selain lampu jalan, kerajaan negeri juga memandang serius kemudahan asas lain seperti bantuan rumah untuk miskin tegar, bekalan air bersih dan jalan kampung yang rosak.

“Kerajaan ada menyediakan peruntukan bagi membantu keluarga miskin yang tidak memiliki rumah manakala bagi kawasan dan kampung yang belum menikmati bekalan air bersih, kita akan mengarahkan Lembaga Air Perak (LAP) mengatasi masalah itu dengan sebaik mungkin agar keperluan asas ini dapat dinikmati rakyat,” katanya.

Sementara itu, beberapa ketua kampung yang ditemui menyokong penuh usaha kerajaan negeri melaksanakan projek berkenaan, sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat di kawasan luar bandar.

Ketua Kampung Sungai Baru, Salim Saad, berkata kampung itu akan menerima 20 lagi unit lampu jalan sebagai tambahan kepada 10 lampu yang sedia ada.

Beliau berkata, lampu jalan itu akan dipasang di beberapa lokasi strategik dan tumpuan ramai termasuk di simpang jalan, surau dan perhentian bas.

“Dengan adanya lampu jalan ini, kawasan kampung yang dahulunya gelap di waktu malam kini sudah terang hasil sokongan dan bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Selain itu, Kampung Jalan Gula juga tidak ketinggalan akan menerima 15 unit lampu jalan bagi menerangi dua lagi kawasan di bawahnya iaitu Kampung Tersusun Jalan Gula dan Kampung Baru Kalompang.

Ketuanya, Kamarul Azmi Ismail, berkata penduduk berharap kerja pemasangan lampu jalan itu dapat dijalankan secepat mungkin bagi tujuan keselamatan terutamanya bagi golongan wanita yang pulang kerja di waktu malam.

“Dengan tambahan 15 unit lampu baru,  saya berharap penduduk di sini dapat hidup dengan lebih selesa dan tenteram kerana seluruh kampung sudah diterangi lampu yang terang-benderang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");