Perak Hari Ini

Agensi Kerajaan Perak Diminta Sedia Laporan Pembangunan Tanah Sepanjang Landasan Elektrik

Beberapa agensi kerajaan di Perak hari ini diminta meneliti pembangunan daripada aspek pertanian dan komersial yang sedang dijalankan di sepanjang laluan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan menyediakan laporan khas berhubung kegunaan tanah di laluan itu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kajian itu termasuk sejauh mana tanah itu dimanfaatkan untuk pembangunan rakyat serta negeri.

Agensi yang terlibat untuk melaksanakan kajian itu ialah Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya, katanya kepada pemberita selepas program taklimat dan makan tengah hari di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari Isnin.

Zambry bersama-sama ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan menggunakan ETS dari Ipoh hingga ke Tanjung Malim untuk mendapat gambaran jelas berhubung aspek kegunaan tanah di sepanjang laluan itu bagi merangka pelan pembangunan yang sesuai.

Beliau turut menasihati penduduk yang tinggal berhampiran kawasan laluan berkenaan supaya tidak menyeberangi landasan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Zambry, yang dalam lawatan kerja sehari ke Tanjung Malim, sebelum itu melawat kilang Proton di sini dan mendengar taklimat khas berhubung operasi dan perkembangan kilang berkenaan.

Selain itu, beliau turut melawat dan mendengar taklimat mengenai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini sebelum bertolak pulang menaiki bas ke Ipoh.

Mengenai lawatannya ke Proton, Zambry berkata Proton sedang melaksanakan pengembangan kepada kilangnya di sini dan dijangka lebih banyak model baru yang akan dikeluarkan bagi pasaran antarabangsa dan tempatan.

“Masa depan dan kedudukan Proton di sini dengan kedudukan strategik kilangnya, Proton mempunyai masa depan yang sangat cerah dan kita berharap Proton akan meneruskan sumbangan sektor automatif dan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan di Tanjung Malim,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga sedang membina kampus UPSI di atas tanah seluas 320 hektar daripada 1,600 hektar tanah yang disediakan kepada DRB-Hicom untuk dibangunkan sebagai Proton City di sini.

Beliau berkata ini sekali gus akan melonjakkan jumlah penduduk dan dijangka merancakkan pembangunan di sini apabila kampus itu yang sedang berada dalam fasa pertama pembinaan siap pada pertengahan tahun ini.

“Saya juga diberitahu melalui taklimat, Proton telah bekerjasama dengan pengusaha Pasaraya Mydin untuk wujudkan sebuah pasar raya di sini selain sektor perumahan yang semakin berkembang,” katanya.

Mengenai perkhidmatan ETS yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad, Zambry yang telah menggunakan perkhidmatan itu sebanyak dua kali, melahirkan rasa sangat berpuas hati dengan kualitinya.

“Saya telah menikmati satu perjalanan yang menarik dan berkualiti. Saya juga pernah menggunakan tren seperti ini di negara-negara maju dan perkhidmatan ETS di negara kita ini ternyata setanding dengan negara-negara maju. Jadi saya galakkan sangat rakyat supaya menggunakan perkhidmatan ini yang ternyata sangat bagus,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");