Perak Hari Ini

MBI setuju lupus hutang Pafa

Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) kini boleh menarik nafas lega apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersetuju melupuskan tunggakan sewa Stadium Perak dan levi sejak 2003 yang dianggarkan mencecah RM800,000.

Berita gembira itu diumumkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim pagi ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan negeri dan persatuan itu dalam memajukan sukan bola sepak tempatan.

Keputusan itu katanya, diambil dalam mesyuarat Rayuan Am yang diadakan baru-baru ini dan MBI memberi syarat kepada Pafa supaya menggunakan logo korporatnya di baju jersi pemain Perak.

“Mesyuarat Rayuan Am yang diadakan baru-baru ini membuat keputusan untuk melupuskan hutang Pafa yang tertunggak sejak 2003 dan ia adalah sumbangan yang MBI dapat beri kepada peminat bola dan persatuan agar sukan bola sepak tempatan terus dinamik,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Roshidi yakin Stadium Perak boleh mengadakan perlawanan malam kerana sistem pengcahayaan lampu limpah sudah ditingkatkan kepada lebih 800 Lux.

“Saya yakin pasukan Perak dapat beraksi di waktu malam dan kita sudah memulakan kerja meningkatkan cahaya lampu limpah kepada 800 Lux hingga 910 Lux.

“MBI bersedia untuk membantu Pafa dan Persatuan Bola Malaysia (FAM) agar sistem pengcahayaan di Stadium Perak dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan untuk mengadakan perlawanan di waktu malam,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mempelawa Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM datang memeriksa cahaya lampu limpah di Stadium Perak yang sudah ditingkatkan.

Katanya, langkah itu perlu bagi meredakan keresahan peminat pasukan Kejor Yob Kejor yang bimbang terpaksa menyaksikan perlawanan Liga Super 2011 pada sebelah petang.

JKPT sebelum ini menyenaraikan Stadium Perak bersama lima gelanggang Liga Super lain iaitu Sabah, Johor FC, Kelantan, Terengganu serta T-Team dan lapan pasukan Liga Perdana bermain pada sebelah petang gara-gara lampu limpah masing-masing tidak menepati piawaian.

Sehubungan itu Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri berkata, kerja-kerja meningkatkan cahaya dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan stadium itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");