Perak Hari Ini

Kastam Perak rampas barangan seludup hampir RM200,000

Sekadar Gambar Hiasan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan mercun, bunga api, minuman keras dan rokok bernilai RM189,696.59 melibatkan cukai kastam sebanyak RM442,342.19 dalam sembilan operasi di seluruh negeri ini sejak 28 Disember lalu.

Operasi yang dijalankan ke atas setor, premis, gerai, lori serta taman permainan itu rata-ratanya melibatkan barangan tanpa cukai setem di Ipoh, Pantai Remis, Pusing, Taiping, Tanjung Malim, Cameron Highlands dan Teluk Intan.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata, JKDM turut menahan lima individu termasuk seorang wanita yang kemudiannya dilepaskan dengan jaminan di bawah Seksyen 116 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, kesemua sembilan kes tersebut akan dirujuk kepada Pengarah Bahagian Perundangan Jabatan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah.

“Sebanyak lima kes telah dihadapkan ke mahkamah dan dua daripadanya didapati bersalah dengan jumlah denda sebanyak RM4,5000.

“Kita akan terus mendakwa penyeludup ke mahkamah walaupun menjumpai hanya sekotak dua rokok haram. Kita tidak akan berkompromi untuk mengeluarkan kompaun kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tahun lalu, JKDM telah membuka sebanyak 349 kertas siasatan melibatkan pelbagai barangan rampasan bernilai RM6.1 juta membabitkan cukai kastam sebanyak RM17.9 juta.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sama sekali terlibat dengan aktiviti menjual, menyimpan, memiliki, menyembunyi, mengedar serta bermain mercun terutamanya menjelang musim perayaan.

Tambah beliau, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Perak di talian 05-5272010 atau talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855. – Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");