Kolumnis

BERLAGAK ALIM TETAPI MUNAFIK… ITU PAS!!!

Kalau kita perhatikan, setiap kali PAS cuba melakukan sesuatu secara bersendirian, pastinya selepas itu ialah tekanan daripada kepimpinan PKR dan DAP agar kepimpinan PAS memberikan penjelasan kepada mereka apa yang dirancang oleh PAS secara keseluruhan.

Pertemuan antara Mursyidul Am dan Presiden PAS dengan Presiden serta Timbalan Presiden UMNO di majlis santapan KDYMM Yang Dipertuan Agong, telah menyaksikan bagaimana kepimpinan utama PKR dan DAP tidak mampu lagi menyembunyikan kebimbangan mereka sehinggakan Nik Abdul Aziz perlu ‘menghadap’ mereka untuk menerangkan bahawa PAS tidak berhasrat meninggalkan Pakatan Rakyat.

Dan seperti yang dijangka, Nik Abdul Aziz akhirnya terpaksa akur dengan tekanan tersebut. Malah memberi jaminan bahawa PAS akan taat setia kepada Pakatan DAP-PKR walau apa pun caranya. Nik Abdul Aziz juga mengulangi ikrarnya bahawa PAS tidak akan bersatu atau berpadu dengan UMNO. Dengan kata lain, apa yang telah diikrarkan sebelum ini, akan tetap dipegangnya dan dengan menggunakan jawatannya selaku Mursyidul Am, dia akan memastikan bahawa PAS akan kekal menjadi barua PKR dan DAP dalam usaha mendapatkan sokongan orang Melayu untuk Pakatan Rakyat.

Paling menarik apabila ayat-ayat al Quran turut digunakan untuk menghalalkan perbuatan itu. Konon-kononnya apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz adalah menepati kehendak al Quran. Ayat yang sering digunakan adalah ayat 61 Surah Al-Anfaal yang bermaksud:

“Apabila mereka cenderung kepada perdamaian, hendaklah kamu cenderung pula serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Begitu juga dengan ayat 4 Surah At-Taubah yang bermaksud:

“Kecuali orang-orang yang telah berjanji kamu dengan mereka di antara orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak melanggar janjinya dengan kamu sedikit pun dan tidak pula menolong seorang pun musuhmu, sebab itu kamu sempurnakanlah janj mereka itu hingga sampai waktunya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”

Konon-kononnya PAS tidak akan mungkir janji setelah ‘menandatangani perjanjian’ dengan Pakatan DAP-PKR dalam apa yang mereka gelarkan sebagai PAKATAN RAKYAT. Namun pada masa yang sama, PAS tidak pula akur dengan perintah Allah Taala.

“Dia telah mengaturkan agama bagimu, sebagaimana telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan yang Kami wahyukan kepadamu, dan yang Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu: Hendaklah kamu dirikan agama dan janganlah kamu berpecah belah dalam agama. Berat bagi orang-orang musyrik (menerima) apa yang engkau serukan kepada mereka (iaitu mengesakan Allah). Allah memilih kepada-Nya sesiapa yang Dia kehendaki dan menunjuki (memberi hidayah) kepada sesiapa yang kembali kepada-Nya.”(Asy-Syuuraa ayat 13)

“Mereka tidak berani memerangi kamu sekalian, kecuali dalam negeri yang berbenteng kukuh atau dari balik paga. Peperangan (perselisihan) sangat keras sesama mereka. Engkau kira mereka itu berkumpul (bersatu) tetapi hati mereka berpecah-pecah. Demikian itu, kerana kerana mereka kaum yang tidak berfikir.” (Al-Hasyr ayat 14)

Muhammad itu adalah rasul (utusan) Allah. Orang-orang yang bersama dengannya (mukminin) sangat keras terhadap orang-orang kafir, berkasih sayang sesama mereka. Engku lihat mereka itu rukuk, sujud serta mengharapkan kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya. Tanda mereka itu adalah pada muka mereka kerana kesan sujud. Itulah contoh (sifat) mereka dalam Taurat. Dan contoh mereka dalam Injil, ialah seperti tanaman yang mengeluarkan anaknya (yang kecil lagi lemah), lalu bertambah kuat dan bertambah besar, lalu tegak lurus dengan batangnya sehingga ia menakjubkan orang-orang yang menanamnya. (Begitu pula orang-orang Islam, pada mula-mulanya sedikit serta lemah, kemudian bertambah ramai dan kuat), kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang Mukmin). Allah telah menjanjikan ampunan dan pahala yang besar untuk orang yang beriman dan beramal soleh di antara mereka itu. (Al-Fath ayat 29)

Terdapat lebih banyak ayat-ayat al Quran tentang kewaspadaan yang perlu ditanam dan dibajai di dalam jiwa umat Islam terhadap kaum bukan Islam berbanding bekerjasama dengan berpegang teguh dengan perjanjian kepada mereka, terutama apabila perjanjian tersebut digunakan untuk menginjak-injak umat Islam.

Namun, mengambil sebahagian dan membuang sebahagian yang telah menjadi darah daging kepada para pemimpin PAS, dipergunakan untuk menipu dan memperdayakan para pengikut mereka yang kebanyakannya juga sekadar beragama dengan nafsu dan bukan menambahkan ilmu pengetahuan. Mereka waham dan jahil tetapi mereka sangat berbangga dengan kejahilan dan kewahaman itu sambil menuduh orang lain yang menentang mereka sebagai jahil dan kafir.

Satu persatu Allah Taala tunjukkan kepada kita perangai sebenar golongan yang sentiasa beranggapan mereka lebih alim, lebih Islam berbanding golongan Islam lain yang mereka musuhi. Akhirnya perdaya Allah Taala telah meletakkan mereka tersimpang daripada jalan kebenaran yang mereka sendiri cari dan lafazkan dalam 17 rakaat wajib sehari semalam.

Mereka begitu keras terhadap UMNO yang majoriti ahli-ahlinya berkongsi kalimah Thoiyibbah seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Syaidina Umar Al-Khattab yang dinukilkan oleh Imam Muslim.

Berkata Umar Al-Khattab: Suatu hari kami (para Sahabat) duduk berhampiran Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki mengenakan pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya.

Dia segera duduk di hadapan Nabi s.a.w, lalu lututnya disandarkan kepada lutut Nabi s.a.w dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas kedua-dua paha Nabi s.a.w dan kemudian dia berkata,

“Hai Muhammad, beritahukan kepadaku tentang Islam.”

Jawab Rasulullah s.a.w, “Islam adalah engkau bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadahan dan engkau menunaikan haji ke Baitullah jika engkau telah mampu melakukannya.”

Lelaki itu berkata, “Engkau benar.”

Maka kami hairan kerana dia bertanya dan dia pula membenarkan.

Nabi s.a.w menjawab, “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.”

Lelaki itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku bila terjadinya kiamat.”

Nabi s.a.w menjawab, “Yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada yang bertanya.”

Dia pun bertanya lagi, “Beritahukanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.”

Nabi s.a.w menjawab, “Jikalau seorang hamba wanita telah melahirkan tuannya, jikalau engkau melihat orangyang bertelanjang kaki, tanpa memakai baju (miskin papa), serta penggembala kambing telah saling berlumba dalam mendirikan bangunan megah yang menjulang tinggi.”

Kemudian lelaki itu segera pergi. Aku pun terdiam sehingga Nabi s.a.w bertanya kepadaku, “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya tadi?”

Aku pun menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.”

Baginda s.a.w bersabda, “Dia adalah Jibril yang mengajarkan kamu semua tentang agama kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidakkah para pemimpin PAS terutama Mursyidul Am PAS yang kerap mendabik dada tentang Islamnya PAS memungkiri hadis Rasulullah s.a.w tentang Islam berdasarkan kepada hadis di atas? Kalau Mursyidul Am PAS bertanya tentang Allah mana yang disembah oleh orang UMNO, patutnya ditanya pula, Nabi Muhammad s.a.w mana pula yang diikuti oleh PAS dan Mursyidul Am?

Penulis: KELEMBAI BUKIT untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");