Perak Hari Ini

Kemelut tanah rizab keretapi Kuala Sepetang – Taiping selesai

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akhirnya mengumumkan bahawa kemelut tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kuala Sepetang – Taiping yang melibatkan 643 keluarga setinggan selesai.

Dr. Zambry menambah, kerajaan negeri tidak perlu membuat sebarang bentuk pemberian wang atau jumlah RM37 juta kepada mana-mana pihak untuk kerajaan negeri mengambil alih tanah itu.

Beliau mengumumkan perkara tersebut pada sidang satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri pertama tahun ini, di Ipoh, semalam.

Kemelut tanah itu bermula pada April 2009 apabila kerajaan negeri cuba menyelesaikan masalah setinggan di kawasan berkenaan yang telah berusia lebih kurang 60 tahun.

Usaha kerajaan negeri itu menemui jalan buntu apabila KTMB meminta RM37 juta untuk mengambil alih tanah yang jika dihitung saiz keseluruhannya seluas 230 ekar.

Perak, melalui Menteri Pengangkutan, telah merayu kepada kerajaan pusat supaya mengetepikan bayaran yang membebankan itu untuk kepentingan rakyat.

Susulan daripada itu beberapa siri perbincangan telah diadakan, dan pada 27 Januari 2010 lalu, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk melepaskan tanah rizab kereta api itu kepada kerajaan Perak kerana ia tidak lagi digunakan untuk operasi kereta api sejak 1941.

“Saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan dan KTMB yang telah menyerahkan tanah tersebut kepada kerajaan pusat yang kemudiannya memberikan hak milik kepada Perak, tanpa apa-apa pemberian wang,” kata Dr. Zambry.

Beliau menambah, perundingan adalah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dan itulah yang menjadi resam kerajaan pimpinan BN.

Dengan selesai masalah tanah itu, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Larut, Matang dan Selama untuk menjalankan banci penduduk di situ dengan lebih terperinci sebelum hak milik boleh diberikan.

Tindakan itu, kata Dr. Zambry, adalah untuk memastikan hanya mereka yang berhak saja menerima tanah di situ dan mengelak sebarang penyelewengan.

Disamping itu, kerja-kerja pengukuran tanah juga akan dilakukan untuk menentukan saiz sebenar setiap lot yang akan diberikan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");