Perak Hari Ini

Kerajaan negeri memberi insentif kepada tiga pemain kelahiran Perak

Selepas menerima habuan lumayan RM65,000 daripada kerajaan Pusat, tiga pemain pasukan Harimau Malaya kelahiran Perak hari ini boleh tersenyum lebar apabila menerima insentif berjumlah RM20,000 daripada kerajaan negeri.

Penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, Mohd Safee Sali, menerima insentif terbanyak iaitu RM10,000 di atas kejayaannya menjaringkan lima gol dan membantu pasukan Harimau Malaya membawa pulang piala berprestij itu pulang ke Malaysia selepas 14 tahun menanti.

Dua lagi pemain kelahiran Perak, iaitu Mohd Sabree Mat Abu dan Mohamad Fadli Mohd Shas juga pulang dengan insentif RM5,000 seorang yang disampaikan oleh Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di Stadium Mini Tapah sempena majlis meraikan wira negara juara Piala AFF Suzuki 2010 dan penyampaian skim insentif kerajaan negeri Perak.

Mohd Safee merupakan anak kelahiran Behrang dan kini keluarganya menetap di Tapah. Beliau pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat sebelum bepindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Manakala Mohd Sabre pula adalah anak kelahiran Parit Buntar dan Mohamad Fadli pula adalah anak anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang lahir di Lumut.

Selain itu, jurulatih penjaga gol yang juga anak jati Perak, Fauzi Mukhlas turut menerima insentif RM3,000 daripada kerajaan negeri di atas sumbangannya melatih penjaga gol pasukan Harimau Malaya.

Lebih 2,000 peminat bola tempatan tidak melepaskan peluang untuk berjumpa sendiri dengan wira negara, Mohd Safee, Mohd Sabree dan Fauzi yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada bola sepak antarabangsa.

Sebelum itu, mereka diarak secara konvoi di sekitar pekan Tapah dengan 100 motorsikal berkuasa tinggi hasil kerjasama Persatuan Bola Sepak Tapah dan IPD Tapah.

Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Zainol Fadzi berkata, insentif itu sebagai tanda pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan anak kelahiran Perak yang berjaya mengangkat martabat sukan bola sepak negara ke tahap yang cukup membanggakan.

“Rakyat seharusnya berbangga dengan pencapaian pasukan Harimau Malaya menjuarai Piala AFF Suzuki dan kejayaan mereka ini diharap dapat menyuntik semangat kepada pemain untuk terus menempa nama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Tapah; Datuk S Saravanan; Adun Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Adun Ayer Kuning, Datuk Shamsudin Abu Hasan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");