Perak Hari Ini

Bonus RM500 tanda kerajaan negeri prihatin dan iktiraf sumbangan kakitangan MBI

Lebih 2,500 kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menyifatkan pemberian bonus RM500 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai tanda pengiktirafan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap sumbangan mereka dalam usaha membangunkan negeri Perak.

Rata-rata mereka yang ditemui Perak Today merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan bersyukur di atas pemberian itu yang dilihat mampu meringankan beban kewangan ditanggung terutamanya bagi pekerja perkhidmatan bandar yang berpendapatan rendah.

Halimatoon Mat Basir, 52, berkata pemberian itu jelas membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap sumbangan kakitangan MBI baik di peringkat atasan mahupun bawahan.

Jelasnya, ia juga akan menjadi pendorong kepadanya bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat agar sasaran bandaraya Ipoh Bersih, Hijau dan Membangun akan tercapai.

“Saya bersyukur dengan pemberian bonus RM500 yang diumumkan Menteri Besar dan berjanji akan menjalankan tugas dengan lebih gigih.

“Sumbangan ini sedikit-sebanyak dapat meringankan beban saya untuk menampung peberlanjaan harian keluarga,” katanya yang kini bertugas di bahagian khidmat bandar sekitar Jelapang.

Berkhidmat sejak 16 tahun lalu, ibu kepada empat anak itu berkata, wargakota juga perlu memberi kerjasama kepada MBI untuk memastikan bandaraya ini sentiasa bersih dan cantik.

Rakannya, Zakaria Zulkfili, 30, pula berkata, pemberian bonus itu pastinya dinanti-nanti oleh kakitangan MBI terutamanya yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, wargakota akan dapat menikmati persekitaran yang selesa jika turut sama berganding-bahu membantu MBI menangani isu sampah yang sering menjadi topik perbualan hangat.

“Jangan hanya mengharapkan pekerja untuk mengutip sampah sebaliknya wargakota juga boleh memainkan peranan mereka dengan membuang sampah di tempat yang disediakan, bukan di merata-rata tempat dan sesuka hati mereka,” katanya lagi yang berkhidmat dengan MBI sejak 1991.

Kakitangan Bahagian Pentadbiran, Wan Huda Wan Ahmad, pula bersetuju dengan cadangan Menteri Besar supaya MBI mengenalpasti 10 ikon pelancongan di kawasan itu bagi menarik kehadiran pelancong.

“Salah satu ikon baru yang boleh diketengahkan ialah Taman D R Seenivasagam yang selama ini menjadi tumpuan wargakota untuk beriadah. Untuk menjadi salah satu di antara 10 ikon itu, ia perlu dinaiktaraf dari segi kemudahan bagi menarik lebih ramai pengunjung di masa depan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan bandaraya Ipoh menjadi tumpuan pelancong, bangunan lama dan mempunyai nilai sejarah perlu terus dipulihara manakala landskap menarik juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Bangunan lama ini boleh dicat semula  agar kelihatan lebih menarik tetapi yang paling lebih penting ialah ia perlu selamat diduduki serta tidak mengancam keselamatan orang awam,” katanya.

Mengulas pemberian bonus RM500 daripada kerajaan negeri, Wan Huda, berkata ia kena dan tepat pada masanya khususnya untuk  golongan pekerja yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan kebajikan semua  kakitangan MBI dan ini sudah pasti akan melonjakkan lagi semangat kami untuk bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");