Kolumnis

LAYAKKAH NIK AZIZ SEBAGAI PEMIMPIN? (Bhg 3)

Artikel-artikel terdahulu telah menceritakan tentang kecacatan yang menyebabkan seseorang pemimpin itu diturunkan daripada jawatannya. Dalam hal Nik Abdul Aziz yang sekarang ini sedang berhadapan dengan tuntutan agar melepaskan jawatannya, seharusnya beberapa perkara juga perlu diambil kira.

Perletakan jawatan seseorang pemimpin atau pemecatannya daripada jawatan, bukanlah perkara semudah menulis sepucuk surat dan kemudian membentangkannya kepada umum. Sebaliknya di dalam Sahsiah Islamiyyah, ia mengandungi pelbagai syarat dan pra-syarat yang perlu diteliti terutama dalam hal pemecatan daripada jawatannya.

Perkara paling utama yang perlu dilihat dan diteliti adalah masalah kecacatan pada Nik Abdul Aziz bagi ‘memudahkan’ dia bersara. Atau setidak-tidaknya memberikan gambaran kepada para pengikut Nik Abdul Aziz yang selama ini sekadar berhujah tentang kelayakan Nik Abdul Aziz sebagai imam, sama ada imam yang mereka maksudkan itu sebagai pemimpin solat mahupun sebagai pemimpin umat, sama ada pemimpin pujaan mereka itu masih boleh meneruskan imamahnya atau sebaliknya melepaskan semua haknya selaku seorang pemimpin.

Artikel kali ini akan membincangkan tentang kecacatan tindakan. Cacat tindakan terbahagi kepada dua perkara iaitu:

(i)                   Hajru

(ii)                 Kalah

Hajru merupakan istilah dalam fiqh Islam. Hajru adalah pembatasan gerak yang ditetapkan kepada seseorang disebabkan tindakan-tindakannya selama ini tidak benar. Contohnya orang kaya yang menghambur-hamburkan wangnya. Seandainya dia dibiarkan begitu sahaja, tentu hal tersebut akan mendatangkan bahaya kepada masyarakat umum. Disebabkan itu, demi kebaikan semua pihak, orang kaya itu perlu dikenakan hajru (pembatasan gerak). Dia tidak boleh memegang wang sama sekali atau diberi wang secukupnya atau pengeluaran wangnya dikawal atau cara-cara lain yang bermanfaat. Jikalau dalam jangka waktu tertentu, orang kaya tersebut telah menyedari kekeliruannya dan mampu mengelola wangnya dengan baik, maka hajru dicabut daripadanya. Jikalau dia masih belum mampu mengelola wangnya dengan baik, maka hajru tetap dikenakan kepadanya. Pembahasan hajru sangat luas dalam fiqh Islamiyyah. Oleh kerana itulah silalah rujuk kepada buku-buku fiqh Islamiyyah.

(1) Hajru

Seandainya pemimpin berada dalam keadaan hajru, maka kuasanya diserahkan kepada salah seorang pembantunya untuk menjalankan tugas-tugasnya tanpa adanya sikap pembangkangan dan permusuhan daripada penjawat yang menerima kuasa itu. Pun begitu, pemimpin itu perlu memantau semua tindakan penerima kuasanya. Jikalau tindakan-tindakannya selari dengan hukum-hukum agama, dan prinsip keadilan, dia dibenarkan menyetujui tindakan-tindakan tersebut demi tertegaknya hukum-hukum agama, dan agar hukum-hukum agama tidak mati sehingga menimbulkan kerosakan kepada ummat. Namun, jikalau tindakan-tindakan wakil kuasa itu terkeluar daripada hukum-hukum agama dan prinsip keadilan, pemimpin utama tidak boleh merestui tindakan-tindakan wakilnya atau pembantunya bahkan dia harus meminta dokongan daripada pihak lain untuk mengalahkan orang tersebut dan mengikis dominasinya.

(2) Kalah

Yang dimaksudkan dengan kalah di sini ialah, pemimpin utama menjadi tawanan pihak musuh yang menang dan dia tidak mampu melepaskan diri daripada mereka. Dalan keadaan seperti ini, dia tidak dibenarkan dilantik sebagai pemimpin kerana dalam keadaan tertawan, sama ada musuh yang menawannya adalah orang musyrik mahupun kaum pemberontak dari kalangan orang Muslim, dia tidak mampu memikirkan persoalan kaum Muslimin yang dipimpinnya. Dalam keadaan ini, ummat berhak memilih pemimpin yang baru dan mempunyai keupayaan kepemimpinan.

Jikalau pemimpin itu ditawan selepas dia dilantik sebagai pemimpin, maka seluruh ummat wajib membebaskannya kerana antara hak pemimpin adalah mendapatkan pertolongan. Dia kekal sebagai pemimpin selagi masih ada harapan pembebasannya atau ada jaminan bahawa dia akan dibebaskan sama ada menerusi perang mahupun dengan penebusan.

Jikalau dia jatuh ke dalam tawanan orang-orang musyrik, maka dia dilucutkan daripada jawatannya kerana usaha pembebasannya menemui jalan buntu, kemudian dewan pemilih melantik orang lain sebagai pemimpin baru kaum Muslimin.

Seandainya dia dilantik sebagai pemimpin ketika masih dalam keadaan ditawan oleh musuh, maka perlantikannya harus dikaji semula. Seandainya perlantikan itu terjadi setelah usaha pembebasannya menemui jalan buntu, maka perlantikannya dibatalkan. Namun jikalau dia dilantik sebelum usaha pembebasannya menemui jalan buntu dan dia mempunyai harapan  untuk dibebaskan, maka perlantikannya sah kerana kepemimpinannya masih berlangsung.

Jikalau dia dibebaskan daripada tawanan setelah dilantik sebagai pemimpin, maka pembebasannya perlu dikaji semula. Jikalau pembebasan itu terjadi setelah usaha pembebasannya sebelumnya menemui jalan buntu, maka kepemimpinan tidak kembali kepadanya dan ketika itu hak kepemimpinan berada di tangan pemimpin pengganti. Jikalau dia bebas sebelum usaha pembebasannya menemui jalan buntu, maka dia tetap menjadi pemimpin dan perlantikan pemimpin pengganti juga tetap sah, sekalipun dia tidak menjadi imam atau pemimpin.

Seandainya dia ditawan oleh para pemberontak kaum Muslimin, jika masih ada harapan untuk dibebaskan, dia tetap menjawat selaku pemimpin. Jikalau tiada lagi harapan untuk bebas, maka pihak yang menawannya tidak lepas dari dua hal; mereka telah mempunyai imam atau pemimpin atau mereka tidak mempunyai pemimpin. Jikalau mereka tidak mempunyai pemimpin, maka pemimpin yang mereka tawan akan menjadi pemimpin kerana mereka wajib berbaiat dan taat kepadanya. Dalam ini, status imam atau pemimpin tersebut bersama mereka adalah sama seperti statusnya bersama rakyat di wilayah kepemimpinannya, jika dia berada dalam masa hajru. Oleh kerana itu, dewan pemilih harus melantik seorang penjawat sementara yang akan menggantikan pemimpin tersebut jikalau pemimpin itu tidak melantik penjawat sementara. Namun jikalau pemimpin itu mampu menunjuk orang yang akan menggantikannya, maka orang yang ditunjuk itu lebih berhak berbanding dewan pemilih.

Jikalau pemimpin yang tertawan mengundurkan diri daripada jawatannya atau meninggal dunia, maka penjawat sementara tidak boleh menjadi pemimin kerana dia menggantikan pemimpin semasa dia masih hidup. Jikalau pemimpin tersebut elah meninggal dunia, maka secara automatik jawatannya sebagai penjawat sementara juga berakhir.

Seandainya para pemberontak mempunyai pemimpin mereka sendiri, membaiatnya dan taat kepadanya, maka pemimpin yang tertawan tidak lagi layak sebagai pemimpin kerana usaha pembebasannya tidak menemui hasil atau kerana pihak yang menawannya telah mempunyai daerah kekuasaan sendiri, melepaskan diri daripada jamaah kaum Muslimin, tidak mahu taat kepada pemimpin yang mereka tawan selain rakyat di wilayah kepemimpinannya tidak lagi dapat memberikan pertolongan dan pemimpin itu juga tidak lagi mempunyai kemampuan yang boleh diandalkan. Oleh kerana itu, dewan pemilih di wilayahnya berhak memberikan imamah kepada sesiapa yang mereka kehendaki. Jikalau pemimpin yang tertawan telah bebas, maka kepemimpinan tidak kembali kepadanya kerana dia telah keluar daripadanya.

Diharapkan dengan penjelasan panjang lebar tentang kecacatan-kecacatan yang terdapat pada pemimpin bagi membolehkan mereka dipecat atau dinasihatkan untuk melepaskan jawatan, kes melibatkan Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah boleh diselesaikan.

Pastinya juga pihak yang menyokong Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin mempunyai hujah masing-masing, dengan alasan utamanya, Nik Abdul Aziz masih belum nyanyuk atau tidak sakit berat sehingga mengganggu tugasnya. Bahkan bukan lagi perkara terselindung bahawa kebanyakan penyokong Nik Abdul Aziz mahukan Nik Abdul Aziz terus menjadi Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan selagi hayat dikandung badan, meskipun lisannya sudah melakukan pelbagai kecacatan terutama semenjak kebelakangan ini. Ditambah pula tindak-tanduknya yang lebih mengutamakan DAP dan Anwar Ibrahim berbanding ummat, sebenarnya menepati beberapa pra-syarat untuk perlantikan seorang pemimpin.

Penulis: Kelembai Bukit untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");