Perak Hari Ini

MBI sedia RM812,700 untuk naiktaraf MBI Terrace – Datuk Bandar

Selaras dengan slogan Bersih, Hijau dan Membangun, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membelanjakan RM812,700 bagi menaiktaraf Persiaran Tugu MBI Terrace, dekat Greentown dengan sistem perparitan dan kawasan yang selamat dan selesa untuk pengunjung menjamu selera.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, berkata projek naiktaraf itu bermula hujung November lalu dan dijangka siap sepenuhnya April depan.

Jelasnya, melalui projek itu, tahap keselamatan, kebersihan dan kehijauan kawasan itu dapat dipertingkatkan kerana pihaknya banyak menerima aduan bau busuk daripada peniaga di bawah yang berpunca daripada longkang tersumbat.

“Longkang yang tersumbat menyebabkan peniaga di kawasan bawah berhadapan masalah bau busuk manakala pengunjung pula berhadapan risiko ditimpa kemalangan kerana menjamu selera di atas jalan.

“Bagi mengatasi masalah ini, kita mengeluarkan peruntukan sendiri berjumlah RM812,700 bagi menaiktaraf MBI Terrace yang dibuka sejak enam tahun lalu dalam usaha menjaga kepentingan peniaga, pengunjung dan alam sekitar.

“Selain itu, kawasan ini juga akan menjadi contoh kepada sistem pemasangan perangkap minyak dan ia turut akan dilengkapi dengan sistem pengcahayaan dan landskap menarik yang mesra alam dan cantik,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek berkenaan di Ipoh, semalam.

Sementara itu, Roshidi menolak dakwaan segelintir pihak yang mengatakan masalah kekurangan tempat letak kereta akan berlaku di kawasan sekitarnya, sebaliknya jumlah petak akan bertambah kepada 72 petak berbanding hanya 55 petak sebelum ini.

“Jumlah petak gerai juga bertambah dari 14 sebelum ini kepada 17 buah dan ini bermakna masih ada tiga lagi petak yang kosong. Kita sedang mencari peniaga yang terbaik dan benar-benar berminat untuk mencari rezeki di MBI Terrace bagi mengisi kekosongan petak itu.

“Setiap gerai ini akan mempunyai paip air sendiri dan kita berharap selepas ini, kawasan akan menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara untuk menjamu selera sambil menikmati keindahan Dataran Bandaraya Ipoh di waktu malam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menghargai kerjasama peniaga MBI Terrace yang terpaksa berpindah sementara bagi memberi laluan kepada pihak kontraktor menyiapkan projek berkenaan.

Kerjasama baik yang diberi peniaga itu, katanya, dapat memastikan projek itu berjalan lancar dan dijangka siap beberapa minggu lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

“Ketika ini, projek ini sudah 35 peratus sudah siap dan kita jangka ia dapat disiapkan beberapa minggu lebih awal dari tarikh siap yang ditetapkan iaitu 3 April depan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");