Perak Hari Ini

MBI tawar tanah 10.5 hektar

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan tanah seluas 10.5 hektar di Kawasan Perindustrian Pengkalan bagi melaksanakan projek Bandar Kasut Ipoh yang dicadangkan sejak dua tahun lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, tanah bekas lombong itu dikenal pasti sebagai kawasan paling sesuai untuk mengembangkan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Setakat ini kami menerima maklum balas positif daripada wakil Pertubuhan Industri Kasut Perak (PFIA) dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.

“Jika kerajaan negeri memberi lampu hijau, MBI akan memulakan projek ini dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Bulanan MBI di sini, semalam.

Roshidi berkata, kawasan Bukit Merah, Menglembu yang sebelum ini diuar-uarkan untuk dijadikan tapak pembinaan perindustrian itu tidak sesuai kerana terletak berhampiran kawasan perumahan.

“Selepas mengadakan perbincangan bersama PFIA, kawasan yang dicadangkan sesuai untuk dijadikan tempat mempamerkan dan mempromosi serta menarik pelabur untuk melabur dalam projek ini.

“Di samping itu, ia dapat menjadi tempat tarikan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara yang mahu melihat sendiri cara kasut dibuat,” katanya.

Katanya, bekas tanah lombong itu jika dibangunkan berpotensi untuk menjadi ‘Lakevie Shoe City’ yang mempunyai pemandangan indah berlatarbelakangkan tasik.

“Pengusaha kilang kasut hanya memerlukan kawasan seluas dua hektar untuk membina kilang dan selebihnya akan diubah menjadi taman tasik yang boleh dijadikan kawasan rekreasi,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 500 pengusaha kasut di seluruh Ipoh yang dijangka mampu menyumbang sekurang-kurangnya RM600 juta daripada RM1 bilion setahun dan projek itu diharap membantu merealisasikannya.

“Dalam perkembangan sama, kami masih mencari 10 tempat menarik yang dapat dikategorikan sebagai ikon unik dalam bandar raya ini.

“Bandar Kasut Ipoh sudah pasti menjadi salah satu tempat terpilih daripada 10 senarai berkenaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");