Perak Hari Ini

Nizar mahu kelirukan yang tidak tahu

Dakwaan Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaludin bahawa perlantikan Setiausaha Kerajaan  yang baharu adalah taktik BN untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan seperti mana yang berlaku di Perak pada 2009 hanyalah tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, di Ipoh, Ahad malam.

Apa yang dilakukan oleh Ir. Nizar, jelas Dr. Zambry hanyalah untuk mengelirukan mereka yang tidak tahu menahu perkara yang berlaku di Perak ketika itu dan beliau cuba mengaitkan kejatuhan kerajaan kepimpinannya di Perak  dengan urusan biasa pentadbiran negeri Selangor.

“Apa yang saya boleh katakan, Nizar memang suka bercakap perkara yang bukan-bukan. Dia tahu apa yang sebenarnya berlaku di Perak tapi cuba menyamakannya dengan perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan negeri Selangor.

“Saya nak bercakap secara akademik terhadap Nizar pun serba salah kerana dia mungkin tak mahu faham bahawa tiada persamaan langsung antara apa yang terjadi di Perak dengan apa yang berlaku di Selangor sekarang,” Dr. Zambry berkata pada satu sidang media selepas menghadiri majlis makan malam amal mengutip dana untuk Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan.

Jelas beliau, Setiausaha Kerajaan negeri Perak adalah orang yang sama semenjak Datuk Seri DiRaja Mohd Tajol Rosli Ghazali menjadi Menteri Besar sehinggalah ke hari ini. Di negeri Selangor pula, Mohd Khusrin, 54, mengambil alih tanggungjawab itu daripada Datuk Ramli Mahmud, 56, yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya.

Perlantikan Mohd Khusrin, yang juga pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang berkuasa membuat sedemikian, dan diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perlantikan Mohd Khusrin yang berkuat kuasa 1 Januari 2011 itu dipertikaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Khalid Ibrahim dengan alasan pejabat beliau tidak dimaklumkan perkara itu dan mempunyai beberapa nama untuk pertimbangan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");