Berita Hari Ini

Pameran Pekerjaan Pemuda BN Sedia 20,000 Peluang Pekerjaan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 peluang pekerjaan daripada 650 syarikat menanti para pencari pekerjaan pada pameran kerjaya terbesar anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) BNY JF 2011 dari 25 hingga 27 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pengerusi Pergerakan Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata pameran tiga hari itu yang dijangka dapat menarik kira-kira 500,000 pengunjung dengan fokus untuk membantu golongan muda mendapat pekerjaan terutama siswazah lepasan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan mereka.

Ia juga menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada para pencari pekerjaan termasuk pengenalan sistem resume yang mempunyai kod bar, penghantaran resume menerusi video, klinik resume, sudut latihan praktikal, sudut pekerjaan kontrak, sudut ceramah kerjaya dan sesi latihan serta sudut peningkatan kemahiran.

“Dengan pengenalan sistem kod bar ini, calon-calon tidak perlu membawa resume kepada setiap bakal majikan, kerana dengan sistem ini ia membolehkan para majikan memperoleh informasi terkini calon-calon dengan hanya mengimbas kod bar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran (BN) BNY JF 2011 di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata calon-calon digalakkan datang awal pada hari pameran berlangsung dan mendaftar di laman web www.bnyouthjobfair.com bagi mendapatkan kod bar dan maklumat lanjut mengenai pameran tersebut.

BNY JF ’11 yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dibuka kepada pengunjung dari 10 pagi hingga 7 petang dan tiada bayaran masuk dikenakan.

Sementara itu, Khairy berkata Pemuda BN mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan majikan yang mengiklankan pekerjaan meletakkan tangga gaji bagi setiap jawatan yang ditawarkan.

Katanya cara itu akan menggalakkan persaingan kepada majikan untuk mendapatkan bakat yang terbaik menerusi gaji yang kompetitif yang secara tidak langsung meningkatkan pendapatan rakyat negara ini.- BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");