Perak Hari Ini

Pegawai FAM diminta melepaskan jawatan di peringkat negeri bagi mengelak berlakunya kontroversi-Raja Ahmad

Semua pegawai persatuan bolasepak yang dipilih menganggotai jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta melepaskan jawatan mereka di peringkat negeri bagi mengelak berlakunya kontroversi di masa hadapan.

Ahli Jawatankuasa FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, mereka boleh memilih untuk mengekalkan kesemua jawatan yang ada di pusat dan negeri tetapi perlu mengelak berlakunya konflik kepentingan yang akhirnya menyebabkan prestasi pasukan dan pengurusan terganggu.

”Kita tidak mahu berlakunya pertentangan atau percanggahan yang wujud di antara individu, kelompok atau organisasi terhadap sesuatu perkara yang menjadi keutamaan…terutamanya jika mereka ini sekadar mendapat gaji bulanan dari persatuan yang diwakili.

”Konflik ini boleh wujud dalam pelbagai keadaan seperti perbezaan pendapat dan pandangan, perebutan jawatan, perebutan sumber yang terhad, persaingan yang tidak sihat, kronisme dan nepotisme,”katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyampaian Komputer kepada Ketua-Ketua Kampung Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah hari ini.

Raja Ahmad berkata, dengan melepaskan jawatan di negeri akan memberikan mereka lebih masa dan tumpuan kepada pembangunan sukan bolasepak negara yang kini telah menunjukkan peningkatan yang baik dan jauh berbeza.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua persatuan sukan agar merujuk masalah yang timbul di peringkat pengurusan kepada Suruhanjaya Sukan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Katanya, terdapat peningkatan di dalam beberapa bidang sukan dalam beberapa pertandingan peringkat Asia Tenggara dan Komanwel tetapi berakhir dengan kekecohan apabila terdapat percanggahan pendapat dan tidak puas hati di dalam persatuan.

”Keadaan ini akan memberikan suasana yang tidak baik dikalangan atlit yang pastinya akan mempengaruhi prestasi mereka di masa akan datang sedangkan kita kini dalam proses menyiapkan pasukan yang mantap bagi mengharungi sukan Olimpik musim panas 2012,”jelasnya.

Raja Ahmad berkata, seharusnya kita memberikan sokongan dan dorongan kepada atlit dan menyerahkan kepada Suruhanyaja Sukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul di dalam persatuan tanpa menghebahkan perkara itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");