Perak Hari Ini

Peluang peminat saksi aksi bintang dunia di Ipoh

MAMPUKAH gelanggang keramat Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh menjelmakan keajaiban terhadap keputusan Liga Perdana Liga Hoki Malaysia hujung minggu ini?

Dikenali dengan stadium yang sentiasa dipenuhi pencinta hoki, kelab-kelab Liga Perdana dilihat bakal mengharapkan gema sorakan penyokong Perak untuk meraih mata penuh bagi menjarakkan jurang mata yang kini saling mengekori rapat antara satu dengan lain.

Dua pasukan pendahulu, TNB dan KLHC tampak mampu meraih tiga mata penuh tetapi mereka sendiri sedar tidak harus memandang rendah skuad bukan pilihan, Tentera dan UiTM. Sementara, kebangkitan dua skuad yang `sudah pun panas’, Maybank dijangka ditentang sengit Nur Insafi selain amaran Sapura – yang terdesak mendapatkan tiga mata penuh untuk membaiki kedudukan di tangga keenam – untuk mengenepikan UniKL. Daripada sudut pengurusan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) pula, percaturan membawa saingan liga berprestij tempatan itu ke setiap negeri adalah langkah promosi bagi mendekati dan menanam minat sukan hoki di peringkat akar umbi. “Kami sedar, seperti juga sukan lain, jumlah penonton membanjiri stadium di setiap negeri lebih tinggi berbanding di Kuala Lumpur,” kata setiausaha badan induk sukan itu, Maninderjit Singh. Selain menggunakan khidmat pengadil dan pegawai setiap negeri terbabit, klinik kejurulatihan juga dijadual diadakan di setiap lokasi terpilih bagi mencari bakat baru selain membolehkan generasi muda menyaksikan lebih dekat aksi pemain kebangsaan dan bintang hoki dunia.

Selepas tiga perlawanan di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, LHM yang dijadual berlangsung sehingga 19 Mac depan, berubah gelanggang di Ipoh, Jumaat dan Sabtu ini, selain Universiti Sains Malaysia (21-22 Januari), Kuantan (28-29 Januari), Johor Bahru (18-19 Februari) dan Melaka (26 Februari).-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");