Perak Hari Ini

Pembangkang dikesan edar risalah fitnah di pasar awam sekitar DUN Sungai Rapat

Bagi mengelirukan rakyat, parti pembangkang di negeri ini turut memasuki kawasan pasar awam dan bergerak dari rumah ke rumah di Dun Sungai Rapat bagi menyebarkan risalah mendakwa kerajaan negeri merobohkan rumah rakyat dan menghalalkan judi.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah semata-mata, Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman, berkata penyebaran risalah yang tertera nama Dewan Pemuda Pas Gopeng sejak dua minggu lalu perlu dihentikan segera supaya rakyat tidak menjadi mangsa pembohongan parti berkenaan.

“Kegiatan ini yang dikesan sejak dua minggu lalu bergerak ke pasar awam antaranya di Gunung Rapat dan Batu Gajah selain pergi dari rumah ke rumah untuk menyebarkan risalah yang berbaur fitnah dan tidak benar sama sekali.

“Setakat ini, belum ada rumah rakyat dan masjid yang kita robohkan. Saya harap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan risalah berkenaan dapat menghentikan segera perbuatan itu kerana tidak wajar parti yang mengaku memperjuangkan kebaikan dan mematuhi ajaran Islam sanggup bertindak mengedar risalah berbentuk fitnah dan pembohongan.

“Tindakan pembangkang itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga boleh menjatuhkan imej parti di mata rakyat. Laporan polis sudah dibuat dan saya berharap pihak berkuasa akan menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek Batu Gajah Sentral di Batu Gajah, pagi ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, berkata nama Pusat Khidmat DUN Sungai Rapat juga digunakan oleh pihak tertentu yang bertindak menjual resit sumbangan kepada orang ramai bagi mendapatkan sekampit beras sekilo gula di pusat khidmat berkenaan.

“Atas nama Pusat Khidmat (PR) Sungai Rapat, sejak seminggu lalu, ada pihak menjual resit sumbangan RM10 untuk sekampit beras sekilo gula kepada orang awam yang diminta pergi ke pusat khidmat untuk mendapatkan barangan itu.

“Apabila orang awam datang membawa resit dan mahu mendapatkan kedua-dua barang itu, kita memberitahu mereka pusat khidmat Dun Sungai Rapat tidak pernah mengeluarkan resit bagi tujuan terbabit.

“Nampaknya ada pihak di luar sana yang mengaut duit tetapi membebankan saya dan taktik ini sangat kotor dan keji,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");