Perak Hari Ini

SPR diminta melantik kesemua ketua kampung sebagai Penolong Pendaftar Pemilih-Raja Ahmad

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) diminta melantik kesemua ketua kampung sebagai Penolong Pendaftar Pemilih bagi memudah dan mempercepatkan proses mendaftarkan pemilih baru.

Angota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, ketua kampung merupakan orang yang paling rapat dengan penduduk di peringkat akar umbi.

”Saya yakin mereka mampu menggalas tugasan ini kerana mereka tinggal dan sentiasa berada di kawasan itu yang memudahkan segala urusan bagi pendaftaran dan semakan pemilih.

”SPR boleh menjimatkan perbelanjaan dengan cara ini berbanding membayar elaun pegawai dan kakitangan untuk turun padang ke kawasan-kawasan pendalaman kecuali dalam majlis tertentu yang memerlukan mereka berada di sana,”katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis penyamapian watikah Ketua Kampung Parlimen Larut hari ini.

Raja Ahmad berkata, sebahagian besar ketua kampung telah mengikuti kelas asas komputer dan mereka mampu memasukkan maklumat yang diperlukan dalam urusan pendaftaran.

Tegasnya, institusi ketua kampung ini boleh dimanfaatkan bukan sahaja dalam urusan kerajaan tetapi termasuk urusan lain seperti tugasan SPR ini.

Dalam pada itu, Raja Ahmad berkata, ketua kampung yang dilantik perlu memainkan peranan dan bertindak sebagai mata dan telinga kepada kerajaan.

”Mereka hendaklah merancang pelbagai bentuk program bagi menyatupadukan masyarakat bagi memastikan penduduk sentiasa hidup dalam aman dan harmoni…mereka hendaklah memastikan kampung sentiasa peka kepada pembangunan sekeliling,”katanya.

Jelasnya, sebagai ketua yang dilantik mewakili penduduk mereka hendaklah bertindak adil dan memberikan kerjasama kepada semua penduduk tanpa memikirkan soal parti dan agama.

”Mereka hendaklah menjalankan tugas dan kewajipan dengan adil kepada semua bangsa yang tinggal di dalam kampung itu,”katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");