Perak Hari Ini

Pembangkang dikesan edar risalah serata kampung kecam kepimpinan Menteri Besar

Tindakan pemimpin dan wakil rakyat pembangkang yang terus mengecam kerajaan negeri bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, nampaknya bukan setakat di pentas ceramah sahaja tetapi turut menular dengan pengedaran risalah di serata kampung bagi tujuan mengelirukan rakyat.

Ini diakui sendiri hari ini oleh pemimpin nombor satu negeri itu berikutan pengedaran risalah yang menyebut ‘Menteri Besar melakukan perbuatan khurafat’ oleh konco pembangkang di sekitar kampung beberapa hari sebelum lawatan kerjanya ke Bagan Serai, baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan mengenai tindakan pembangkang yang mengedarkan risalah kepada penduduk kampung sekitar Bagan Serai beberapa hari sebelum lawatan kerja saya ke kawasan berkenaan. Isu ancak ini nampaknya terus diputar-belit oleh pembangkang hingga mereka sanggup mengutuk dan mempertikaikan keputusan Mufti Perak berhubung perkara itu.

“Pada penghujung Disember lalu, Adun Tronoh, V Sivakumar dan beberapa konconya pergi ke merata tempat di Pangkor untuk mengedarkan risalah Laporan Audit Negara berkaitan projek terbengkalai yang disenaraikan sebagai sakit dan kini menjadi projek gajah putih.

“Beliau turut mempersoalkan kewujudan projek PERMATA di Kampung Sungai Pinang Besar yang didakwa hanya untuk orang kaya sahaja, sedangkan ia tidak benar sama sekali. Projek itu dibangunkan bagi membantu anak-anak dari keluarga miskin tegar mendapat pendidikan sempurna,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung ke 7, Koperasi Pembangunan Pangkor Berhad di Pangkor, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi koperasi, Datuk Mat Nor Yusof dan YDP Majlis Perbandaran Manjung, Zamri Man.

Jelasnya lagi, pakatan pembangkang seolah-olah tidak mahu melihat beliau membawa kemajuan dan pembangunan di Pangkor dengan menyebarkan risalah dan menganjurkan siri ceramah yang terus mempertikaikan tindakannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

“Apabila Pangkor maju dan pesat membangun, rakyat sudah pasti tidak bersuara tetapi jika wakil rakyat gagal buat kerja, pembangkang cuba pengaruhi rakyat agar benci kerajaan dan undi mereka.

“Bagi saya, jika pemimpin pembangkang termasuk mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ingin berpolitik, kita berpolitik dengan cara berhemah dan bukannya atas nama Islam dan berbohong pula semata-mata bagi mendapat sokongan dan perhatian rakyat,” tambahnya.

Tegas Dr Zambry lagi, salah satu tuduhan yang dilemparkan oleh wakil rakyat Pasir Panjang itu ialah beliau merampas tanah Yahya Ismail di Kampung Masjid untuk diberikan kepada ibunya dan mengabaikan kebajikan 100 keluarga lain yang turut mendiami tanah berkenaan.

“Dendam kesumatnya kepada Umno begitu mendalam hingga beliau sanggup mengaitkan ibu saya dalam perkara ini dalam sidang dewan tempoh hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Pinang Besar, Roslan Ahmad, mengakui kehadiran Sivakumar dan konco-konconya ke kampung itu dan menyebarkan risalah Laporan Audit Negara berkaitan projek sakit termasuk restoran terapung di Teluk Gedong.

“Konco-konco DAP iaitu PKR dan PAS mengedarkan risalah itu dan menemui peniaga Cina di seluruh kawasan Pangkor dengan tujuan memburuk-burukkan kerajaan negeri pimpinan Dr Zambry.

“Bagi saya, tindakan pembangkang itu tidak bertanggungjawab kerana mereka menyebarkan berita palsu tetapi saya yakin penduduk di sini tidak akan mudah terpedaya,” katanya.

Menurutnya, Nizar juga seolah-olah merasakan Dr Zambry sebagai ancaman kepadanya hingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mengaibkan Menteri Besar sambil dibantu oleh Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham dan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");