Perak Hari Ini

Pelbagaikan perniagaan untuk tambah pendapatan koperasi- DS Zambry

Bagi menambah pendapatan ahli, pertubuhan koperasi negeri ini diingatkan agar mempelbagaikan perniagaan yang bersesuaian dengan keperluan tempatan bagi mengelak pergantungan kepada satu-satu bidang sahaja.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata jika sesebuah koperasi itu terlalu bergantung kepada hanya satu sumber atau memerlukan sokongan pihak lain untuk meneruskan kesinambungannya, maka tidak mustahil lebih banyak koperasi akan gulung tikar.

Beliau yang juga Adun Pangkor berkata, koperasi juga harus mempunyai aset sendiri bagi menguruskan perniagaan agar tidak mudah diperkotak-katik pihak tertentu dengan sesuka hati mereka.

“Bagi menambah pendapatan ahli, saya mencadangkan Koperasi Pembangunan Pangkor Berhad agar memiliki pelantar sendiri untuk menjalankan projek perikanan.

“Difahamkan, Syarikat Kerjasama Nelayan mahu menjual pelantar mereka dengan harga RM300,000 dan saya mencadangkan koperasi ini membeli pelantar itu.

“Selain itu, koperasi ini juga boleh mengembangkan perniagaan dengan menawarkan khidmat pajak gadai Islam Ar Rahnu melalui kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam dan Bank Rakyat.

“Dengan khidmat yang ditawarkan ini, harta orang Islam juga lebih terpelihara,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung kali ke 7, Koperasi Pembangunan Pangkor Berhad di Pulau Pangkor, semalam.

Hadir sama, Pengerusi KPB, Datuk Mat Nor Yusof.

Tambahnya, pinjaman mikro kredit melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula dapat memberi peluang kepada ahli koperasi menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Selain itu, kerajaan negeri katanya, akan mengenalpasti  tapak tanah baru dalam masa terdekat untuk dibangunkan oleh koperasi itu dengan projek pertanian yang bersesuaian.

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga meluluskan dana RM250,000 kepada koperasi ini dan kita berharap ia dapat digunakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan lebih 300 ahlinya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");