Perak Hari Ini

Peniaga runsing minyak masak masih berkurangan

Isniza Aizan Arjuna (kiri) menunjukkan tanda 'Satu Minyak Untuk Satu Orang Sahaja' kepada adiknya, Azizah Aizan di Ipoh.
Isniza Aizan Arjuna (kiri) menunjukkan tanda 'Satu Minyak Untuk Satu Orang Sahaja' kepada adiknya, Azizah Aizan di Ipoh.

IPOH 5 Jan. – “Jangan tanya saya sebab saya tiada jawapan. Sepatutnya soalan itu ditanya kepada pihak yang bertanggungjawab dan bukan kepada peniaga kecil seperti saya.”

Demikian kata peniaga, Mohammad Khadir Ali, 30, pemilik sebuah kedai runcit di bandar raya ini ketika tinjauan Utusan Malaysia berhubung masalah kekurangan bekalan minyak masak peket yang melanda seluruh negara ketika ini.

Katanya, kegagalan pembekal menghantar bekalan mengikut jadual menyebabkan banyak pihak mengalami kesukaran selain menimbulkan kemarahan di kalangan pembeli.

Jelasnya, akibat kekurangan bekalan beliau terpaksa berhadapan dengan kemarahan pembeli kerana dikatakan sengaja menyorokkan bekalan itu.

“Di kedai ini sekarang hanya mempunyai dua kotak minyak masak sahaja yang setiap kotak mempunyai 20 peket. Dengan jumlah ini mana mungkin kami dapat memenuhi keperluan penduduk sekitar.

“Sebab itu, kami mengehadkan pembelian satu peket minyak untuk setiap orang. Jika tidak dihadkan, orang ramai akan membeli melebihi keperluan dan ini tidak adil untuk orang lain,” katanya.

Bekalan minyak masak dikatakan berkurangan di beberapa negeri ekoran pembelian panik pengguna berikutan khabar angin harga minyak masak akan naik dalam tempoh terdekat.

Selepas Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan ibu negara, krisis bekalan minyak masak kini turut dialami oleh pengguna di Melaka, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.

Sementara itu menurut seorang pembeli, Isniza Aizan Arjuna, 24, kesukaran mendapatkan minyak masak menyebabkan dia terpaksa pergi ke beberapa kedai bagi mendapatkan bekalan itu.

“Telah banyak kedai yang kami pergi hanya untuk mendapatkan satu peket minyak masak. Ini kerana ada kedai yang langsung tidak mempunyai minyak masak peket dan jika ada hanya boleh beli satu peket seorang.

“Jika diikutkan memang tidak cukup sebab itu saya terpaksa pergi ke banyak kedai dan membawa adik bagi mendapatkan satu peket lagi minyak masak,” katanya.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri, Mohd. Hilmi Mohd. Noor ketika dihubungi berkata, bekalan minyak masak di negeri ini masih ada namun jumlahnya berkurangan berbanding sebelum ini.

Katanya, terdapat premis-premis yang masih belum menerima bekalan minyak masak untuk Januari dan ini menyebabkan kekalutan di kalangan pengguna.

“Apa yang berlaku berpunca daripada sikap panik pengguna yang percaya khabar angin kenaikan harga minyak masak walaupun sebenarnya ia tidak benar,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr. Mah Hang Soon dijangka mengadakan sidang akhbar esok bagi menjelaskan krisis bekalan minyak masak di negeri ini.-Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");