Perak Hari Ini

10,000 orang Melayu dijangka hadiri Perhimpunan Melayu Perkasa Sabtu ini

Kira-kira 10,000 orang Melayu dijangka menghadiri Perhimpunan Melayu Perkasa Perak yang berlangsung di kawasan litar lumba mini Pasir Salak, dekat Kampung Gajah, Sabtu ini.

Perhimpunan bermula jam 2.30 petang dengan tema `Melayu Bangkit di Pasir Salak ‘  itu dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)  negeri Perak dan rakyat Parlimen Pasir Salak.

Yang DiPertuanya, Ahmad Zaini Ismail, berkata perhimpunan berteraskan perpaduan Melayu yang menjadi kunci perpaduan rakyat Malaysia dan bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh itu akan diserikan lagi dengan kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

“Amanat dan ucaptama akan disampaikan oleh Dr Mahathir kepada lebih 10,000 orang Melayu yang dijangka menghadiri perhimpunan ini.

“Kita menjemput semua orang Melayu tanpa mengira fahaman politik dan status untuk sama-sama mendengar amanat yang bakal disampaikan oleh kedua-dua tetamu kehormat,” katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Pada majlis itu juga, Ahmad Zaini melancarkan konvoi perhimpunan yang akan bergerak ke setiap daerah bagi mengedarkan kad jemputan ke seluruh negeri melalui Pengerusi Perkasa Daerah.

Sementara itu, beliau berkata, antara matlamat perhimpunan itu ialah membangkitkan semangat orang dan pemimpin Melayu yang lesu akibat diserang oleh pihak yang tidak tahu menahu mengenai sejarah negara.

“Pada perhimpunan itu nanti, kita akan membuktikan bahawa orang Melayu bersatu dan kita bukan mahu bergaduh tetapi mahu mempertahankan apa yang sepatutnya kita perolehi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

“Ini termasuklah hak keistimewaan orang Melayu dan hak lain yang kita nikmati selama ini. Dengan keadaan semasa dan hak asasi dunia yang menuntut keadilan, kita mudah terpengaruh dan rakyat bukan Melayu pula mempertikaikan hak Melayu dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu dari Perak dan negeri sekitarnya dijemput menghadiri perhimpunan itu dan Perkasa akan terus mempertahankan hak Melayu dan Perlembagaan Negara agar ia terus dikekalkan.

“Orang Melayu tidak seharusnya terbawa-bawa dengan pengaruh luar yang mahu ia dimansuhkan.

“Sejak kebelakangan ini, kita lihat parti politik seperti PAS mula bercakap mengenai isu berkaitan kepentingan orang Melayu tetapi kita di Perkasa sejak dari dahulu lagi dan selama-lamanya akan terus mempertahankan hak Melayu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");