Perak Hari Ini

Perkasa Perak jemput Nik Aziz hadir Perhimpunan Melayu Perkasa

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dijemput menghadiri Perhimpunan Melayu Perkasa Perak yang dijadual berlangsung Sabtu ini, jika beliau benar-benar ikhlas mahu mempertahan serta memperjuangkan hak dan orang Melayu.

Yang Di Pertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Ahmad Zaini Ismail, berkata perhimpunan yang diadakan di litar lumba mini Pasir Salak, dekat Kampung Gajah itu dijangka dihadiri lebih 10,000 orang Melayu dari seluruh negeri.

Katanya, program yang dijadual bermula jam 2.30 petang itu juga diserikan lagi dengan kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan amanat dan ucaptama pada perhimpunan berkenaan.

“Perkasa Perak menjemput semua orang Melayu termasuk Nik Aziz jika beliau benar-benar ikhlas mahu mempertahankan hak Melayu kerana sejak kebelakangan ini, PAS mula bercakap mengenai hak dan kepentingan Melayu.

“Oleh itu, semua orang Melayu dijemput datang beramai-ramai menghadiri perhimpunan ini tanpa mengira fahaman latar belakang politik dan status mereka, sama ada pemimpin dan penyokong PAS, PKR ataupun UMNO.

“Rakyat perlu tahu bahawa pertubuhan ini tidak mewakili mana-mana parti politik tetapi adalah badan bukan kerajaan (NGOS) yang lantang memperjuangkan hak Melayu dari dahulu, kini dan selama-lamanya,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, Perkasa juga akan menegur mana-mana wakil rakyat atau pemimpin yang gagal melaksanakan tugas dengan baik di pihak pembangkang atau kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana rakyat mahu ahli politik yang telus untuk mewakili kepentingan mereka di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat.

Pertubuhan itu katanya, akan memantau kenyataan Nik Aziz dari semasa-semasa berhubung isu Melayu kerana pendiriannya yang sering berubah-ubah agar ia tidak merugikan orang Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zaini berkata, pihaknya berharap perhimpunan itu dapat menarik ramai pengundi muda apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi persetujuan untuk membuka kaunter daftar pemilih baru.

Sementara itu, Ketua Wiranita Perkasa Perak, Rahayu Mat Tahir, berkata orang Melayu perlu terus bersatu-padu dalam memperjuangkan hak Melayu yang dinikmati selama ini termasuk dengan memberi sokongan padu terhadap perhimpunan berkenaan.

“Penting bagi rakyat terutamanya orang Melayu untuk bersatu dalam menghadapi cabaran dan rintangan baru yang mempersoalkan hak kita secara terbuka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");