Perak Hari Ini

Kerajaan Perak sedia kaunter khas untuk pelajar yang dibawa keluar dari Mesir

Kerajaan negeri menyediakan kaunter khas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan urusan penghantaran pulang pelajar dari Perak ke kampung halaman masing-masing, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan ICT negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Katanya, kakitangan beberapa agensi kerajaan negeri iaitu Yayasan Perak dan Majlis Agama Islam akan bertugas untuk merekodkan maklumat pelajar manakala dua pegawai perubatan dari Kelab Bakti Gunung Kledang pula memberi rawatan kesihatan kepada mereka yang memerlukan.

“Seramai 60 pelajar Perak selamat tiba dari Mesir hari ini melalui penerbangan pertama sempena Ops Piramid.

“Selain kaunter khas yang dibuka mulai hari ini bagi memudahkan urusan penghantaran pulang mereka ke kampung halaman, kita juga menyediakan khidmat kesihatan bagi membantu pelajar yang mengalami trauma.

“Berdasarkan kepada pengalaman gempa bumi di Padang, ada pelajar mengalami trauma hingga mereka tidak mahu pulang ke Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kumpulan pertama pelajar Perak yang dibawa keluar dari Mesir melalui Ops Piramid di Ipoh, hari ini.

Zahir berkata,kerajaan negeri juga akan menimbang pilihan lain yang ditawarkan di institusi pengajian tempatan bagi membolehkan pelajar berkenaan melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia.

Namun, itu semua katanya, tertakluk kepada perbincangan dengan pihak yang menaja pelajar serta keadaan atau situasi di Mesir dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahir berkata, tiga buah bas turut disediakan kerajaan negeri bagi membawa pelajar dan rakyat kelahiran Perak pulang dari KLIA bermula hari ini sehingga Khamis ini.

“Jika ibu bapa tidak datang ke KLIA, pelajar boleh menggunakan kemudahan bas ini untuk pulang ke Ipoh dengan mendaftar di kaunter khas yang disediakan,” katanya lagi.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 525 pelajar mendaftar dengan Rumah Perak tetapi angkanya mungkin mencecah antara 800 hingga 1,000 orang kerana masih ramai lagi yang belum membuat pendaftaran secara rasmi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");