Perak Hari Ini

Kumpulan pertama babit 60 pelajar Perak selamat tiba dari Mesir

Tangisan kegembiraan menyambut kepulangan 11 pelajar dan rakyat Perak yang dibawa keluar dari Mesir apabila mereka selamat tiba di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Mereka adalah antara 60 pelajar dari Perak yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid dengan menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia yang mendarat jam 10 pagi tadi.

Sebelum itu, ketibaan kumpulan pertama membabitkan 778 pelajar dan rakyat Malaysia disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet lain di Kompleks Bunga Raya.

Bagi Kasmah Abdul Hamid, 54, dari Pekan Razaki, tiada yang lebih menggembirakan hatinya kecuali dapat menatap sendiri wajah anaknya, Muhammad Ammar Jusof Khadidi, 24, yang selamat pulang dengan bantuan Kerajaan Pusat.

“Hampir setiap malam, saya tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang dengan keselamatannya di sana. Pada hari pertama rusuhan, saya cuba menghubungi Ammar untuk mengetahui statusnya di Mesir tetapi masih gagal.

“Saya hanya dapat menghubunginya pada hari ketiga dan beliau memaklumkan semuanya selamat dan tidak perlu bimbang keadaan di sana masih terkawal,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, ketibaan rombongan pelajar itu disambut oleh Exco Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dan pegawai Yayasan Perak.

Sementara itu, Kasmah berkata, selain Ammar, seorang lagi anaknya iaitu Muhammad Jabil, 20, yang juga penuntut tahun pertama di Universiti Kaherah sedang menunggu penerbangan pulang ke Malaysia dan dijangka tiba dalam masa sehari dua lagi.

Beliau turut memuji tindakan pantas kerajaan yang membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di bumi Mesir .

Sementara itu, Ammar yang juga pelajar Tahun Dua jurusan Al Quran dan Qiraat, berkata, semua pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al Azhar cawangan Subra sudah dipindahkan ke Jeddah dan akan dibawa pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat.

“Sepanjang tempoh rusuhan, saya dan pelajar lain  tidak menghadapi masalah kekurangan makanan dan kami juga mematuhi perintah berkurung yang dikeluarkan kerajaan Mesir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Pada hari pertama rusuhan, cubaan kami menghubungi ibu bapa dan keluarga di tanahair gagal kerana talian telefon dan internet disekat dan hanya dapat berbuat demikian selepas tiga hari,” katanya yang mendapat tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).

Tambahnya, beliau akan menduduki peperiksaan April ini dan berharap dapat pulang ke Mesir untuk meneruskan pengajian yang masih berbaki setahun.

“Saya juga akan mengikuti perkembangan semasa politik Mesir dan berharap krisis ini dapat ditamatkan dengan secepat mungkin,” katanya yang turut berterima kasih dengan sokongan dan bantuan kerajaan negeri yang menyediakan kemudahan pengangkutan untuk membawa pulang pelajar kelahiran Perak melalui kerjasama Yayasan Perak.

Muhammad Hanif Abdullah

Pelajar Tahun Satu jurusan Syariah, Muhammad Hanif Abdullah, 21, berkata jarak tempat rusuhan dari tempat kediamannya agak jauh tetapi kegiatan mencuri tetap berleluasa dan keadaan itu boleh membahayakan nyawa orang awam.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Pusat dan negeri kerana berusaha membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir kerana keselamatan kami di sana tidak terjamin.

“Pelajar yang menetap di Rumah Perak juga bertindak segera membeli makanan apabila kerajaan Mesir mengumumkan catuan makanan bagi mengelak keputusan bekalan,” kata anak muda dari Kampar itu yang berazam untuk terus menyambung pengajiannya di Universiti Al Azhar selepas keadaan kembali reda.

Selain pelajar, rakyat Malaysia, Sakinah Abdul Halim, 35, yang ditemani dua anak lelakinya, Muhammad Nazir; 5, dan adiknya, Abdullah, 13 bulan turut melahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana selamat kembali ke tanah air.

Beliau yakin rusuhan yang berlaku di Medan Tahrim, Mesir akan reda dalam masa terdekat dan berharap dapat pulang semula ke negara itu kerana suaminya masih di sana.

“Buat sementara waktu ini, saya berehat di rumah keluarga dekat Simpang, Taiping dan tidak lupa penghargaan buat kerajaan Malaysia yang menaja penerbangan pulang kami ke tanahair,” katanya yang menetap lebih lima tahun di Mesir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");