Perak Hari Ini

14 pekan kecil di Perak dibangunkan semula: Dr Zambry

Kerajaan negeri  merancang untuk membangunkan semula 14 pekan kecil di di Perak melalui kerjasama syarikat yang berdaya saing bagi memastikan pembangunan dan agihan ekonomi antara bandar dan luar bandar dapat bergerak seimbang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata di bawah pelan Perak Amanjaya, pekan kecil yang dibangunkan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui projek yang diusahakan syarikat bersaiz kecil dan sederhana (IKS).

“Selepas Tapah Road, kerajaan negeri hari melancarkan pula pekan kecil kedua, iaitu Lawin dan dua
buah syarikat turut menandatangani perjanjian dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk membangunkan pekan kecil ini dengan projek berasaskan bahan buangan daripada kelapa sawit, pisang dan tebu serta produk bio komposit daripada buluh sebagai pengganti kayu untuk industri perabot.

“Kita percaya pembabitan kedua-dua syarikat ini iaitu, Return 2 Green Sdn Bhd dari Pulau Pinang dan Industrial Resins (Malaysia) Sdn Bhd dari Johor Bahru dapat memacu pertumbuhan ekonomi lebih pesat di Lawin pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pekan Kecil Lawin dekat Lenggong, semalam.

Dr Zambry berkata, selain Tapah Road dan Lawin, pekan kecil lain yang akan dibangunkan ialah Trong, Changkat Lada, Sauk, Kati, Batu Kurau, Ijok, Bandariang, Lekir dan Kubu Gajah.

Katanya, Tapah Road, pekan kecil pertama yang dilancarkan kerajaan Perak pada November lalu dijangka berkembang pesat dari segi pertumbuhan ekonomi berikutan kewujudan UiTM Tapah.

Beliau berkata, satu jawatankuasa dibentuk dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Unit Perancang Ekonomi (UPEN), PKNP dan Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk merangka dasar pembangunan pekan kecil di negeri itu.

“Apa yang kita harapkan ialah usaha ini nanti bukan sahaja memberi wajah baru kepada luar bandar tetapi juga mencipta peluang kualiti kehidupan yang hampir sama dinikmati masyarakat bandar,” katanya.

Mengulas lawatan serta program turun padang di Daerah Lenggong dan Grik, beliau berkata, pembangunan yang dirancang di daerah itu berjalan lancar dengan pelbagai projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian negeri (SADC) dan PKNP.

Beliau turut mengumumkan pembinaan Pejabat Daerah Lenggong yang baru bernilai RM4.5 juta, Pejabat Agama Daerah (RM2.5 juta) serta sebuah Maahad Tahfiz di daerah berkenaan.

Terdahulu, ketika merasmikan Homestay Kampung Beng, kerajaan Pusat kata Dr Zambry meluluskan peruntukan RM2.6 juta bagi membina jalan raya di Kampung Batu Ring yang hanya boleh dihubungi melalui jalan air menggunakan bot atau sampan.

Katanya, keindahan alam semulajadi di Sungai Perak, gunung-ganang menghijau dan keunikan budaya masyarakat kampung itu menjadi tarikan utama pelancong untuk menyertai program Homestay Kampung Beng.

Justeru, penduduk di situ katanya, perlu terus menggunakan pengangkutan air sebagai daya tarikan utama  pelancong walaupun jalan raya sudah dbina nanti.

“Kekalkan keunikan ini dan saya harap lebih ramai pelancong akan menyertai program homestay di kampung ini selepas jalan raya sepanjang 700 meter itu siap kelak,” katanya yang turut mengumumkan peruntukan RM30,000 daripada kerajaan negeri untuk kegunaan bengkel dan mengisi tabung Homestay Kampung Beng yang ditubuhkan pada 2007.

Kampung Beng yang terletak di Mukim Durian Pipit, adalah sebuah perkampungan tradisional terletak di pinggir Tasik Chenderoh. Perkampungan ini berada di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di pertengahan Banjaran Titiwangsa yang terdapat Hutan Simpan Bintang Hijau.

Populasi penduduk di Kampung Beng adalah seramai 896 orang dengan 195 buah rumah di atas keluasan 3.9188 hektar. Terdapat enam perkampungan kecil yang membentuk Kampung Beng iaitu Kampung Durian Lubuk, Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau dan Batu Ring.

Jarak kampung ini dari Ipoh adalah kira-kira 60 kilometer, manakala dari Kuala Kangsar 35 kilometer serta mengambil masa selama 35 minit untuk sampai ke sini. Keindahan dan keunikan Homestay (rumah inap) Kampung Beng menjadikan penginapan desa ini popular di kalangan penerbit filem untuk dijadikan lokasi penggambaran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");